Mengakui Kelebihan Anak Anda Dengan Pujian
Selalunya apabila disarankan agar kita memuji anak-anak kita ataupun memuji murid dan pelajar kita, ada yang akan mencebik dan membuntangkan mata.
Ada yang akan berkata, akan ‘besar kepala’ anak-anak yang dipuji, terutamanya anak-anak atau pelajar yang sering memberikan masalah. Ada ibu yang pernah berkata kepada saya;
“Eee… gelilah Puan nak puji-puji macam tu. Tak biasalah.”
Saya tidak menyalahkan ibu itu jika memuji bukanlah amalan dalam keluarganya semasa dia membesar dahulu. Setiap anak ada kebaikan dan kelebihan yang harus dipuji dan anak ini juga mempunyai kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki.
Ini lumrah bagi semua manusia, baik yang kecil, yang muda, yang dewasa mahupun yang tua. Salah satu sebab saya suka menonton rancangan pertandingan masakan adalah kerana keindahan susunan kata ketika juri memberikan pendapat mereka tentang masakan yang disediakan peserta.
Sebagai pakar, saya yakin tentu banyak kesilapan dan kesalahan yang boleh mereka kenalpasti pada masakan dan cara penyediaan peserta namun mereka memilih cara berkomunikasi yang sebaliknya.
Jika anda perasan, mereka akan memulakan dengan menyebut apa yang positif terlebih dahulu. Mereka akan menyebutnya dengan terperinci supaya peserta tahu apa yang betul yang telah dilakukan. Bukan hanya menyebut
“Sedap! Terbaik.”
Pujian dengan menyebut secara terperinci perkara yang positif ini dikenali sebagai Pujian Diskriptif (Descriptive Praise). Ini adalah pujian yang membina, bukan pujian yang membinasakan kerana individu yang dipuji tahu apa yang dibuat dengan betul.
Kemudian mereka akan beralih pula kepada kelemahan dan kekurangan. Mereka bukan hanya berkata;
“Ini salah, kenapa buat macam ni?”
Sebaliknya mereka akan menyebut juga secara terperinci apa yang tidak kena. Mereka juga akan memberi saranan untuk penambahbaikan.
Komunikasi sebegini bukan hanya releven dalam pertandingan masakan sahaja, beginilah juga seharusnya corak komunikasi kita dengan anak-anak.
Anak-anak perlu tahu yang mereka punya kebaikan dan kelebihan supaya mereka dapat teruskan kebaikan itu. Anak perlu tahu bahawa sebarang usaha mereka dihargai dan mempunyai nilai. Kadang-kadang mulut kita terlalu cepat mengkritik usaha anak;
“Tak cantik lah macam ni”
Sedangkan itu usaha yang terbaik yang telah dibuat mengikut keupayaan dia ketika itu. Pujian secara diskriptif yang kita berikan kepada mereka membuatkan mereka tahu di mana kelebihan mereka.
Pujian sebegini tidak akan membuatkan mereka meninggi diri ataupun besar kepala sebaliknya mereka akan cuba untuk meneroka kebaikan yang lain yang belum dimiliki.
Anak juga perlu tahu yang sebagai manusia mereka juga punya kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini juga perlu disebut secara terperinci bukannya secara pukul rata seperti;
“Kamu ni degillah, selalu tidak mendengar kata”
Ini hanya memberi gambaran bahawa anak itu tidak punya kebaikan dan kelebihan apa-apa. Cara sebegini tidak memotivasikan anak untuk memperbaiki diri sebaliknya dia merasakan dirinya tiada harga.
Bantulah mereka untuk mengenalpasti kelemahan dan bimbinglah dia dengan membincangkan penyelesaian yang sepatutnya.
Ingatlah setiap anak punya kelebihan dan kekurangan. Pujilah jika dia berbuat kebaikan dan bimbinglah dia untuk mengatasi kelemahan. Perlu ada keseimbangan.
No comments: