Ads Top

Islam Menitikberatkan Amalan Menjaga Kebersihan

”Eee busuknya sini! kita cari restoran yang bersihlah.”

Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti geli dan jijik dengan keadaan persekitaran yang kotor. Kebersihan diri, tempat tinggal, persekitaran dan negara harus diambil berat untuk menimbulkan kedamaian dalam hidup setiap insan.

Sejuk mata memandang dan tenang pula hati merasa. Keindahan dan kebersihan dapat merawat minda anda yang sedang serabut.

Jika kebersihan tidak dijaga maka timbul pula masalah kecil dan besar seperti datangnya penyakit yang berbahaya, menganggu fokus, merosakkan imej keluarga dan negara serta pelbagai lagi.

Kebersihan Tuntutan Dalam Islam

Kebersihan amat dituntut dalam Islam. Bukan sahaja kebersihan hati bahkan kebersihan luaran (fizikal). Islam hadir membawa seribu kebaikan dan kemudahan kepada setiap manusia.

Benarlah Islam itu indah. Keindahan itu akan terserlah jika umatnya turut mengamalkannya. Namun, jika ditinggalkam maka rugilah umat Islam tersebut. Rugi kerana membiarkan keindahan itu tidak dihidupkan.

Daripada Abu Malik al-Asy’ari R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.”Hadis Riwayat Muslim

Apakah bukti keimanan kita kepada Allah S.W.T? Buktikanlah dengan menjaga dan memelihara kebersihan diri. Sesungguhnya Allah menyukai keindahan maka kita sebagai hambaNya janganlah mencemari keindahan dengan sikap negatif kita.

Agak malang kerana sebahagian daripada kita hanya berfokuskan kebersihan hati sahaja. Hinggakan keadaan persekitaran kita tidak dihiraukan.

Ada yang tempat ibadahnya penuh dengan najis cicak dan kekotoran yang boleh menyebabkan sesuatu ibadah itu menjadi tidak sah.

Hakikatnya kebersihan itu perlu dijaga tidak kira fizikal ataupun rohani. Kebersihan hati penting dan kebersihan fizikal juga tidak kurang pentingnya.

Semoga Islam dilihat sebagai agama yang bersih dan bukan pula sampai digelar agama yang ‘kotor’ kerana sikap sebahagian daripada kita.

Ayuh, jagalah kebersihan. Tidak ada ruginya kerana kebersihan akan mengharmonikan kehidupan kita. Cubalah mulai dari bilik kita. Selepas itu bersihkan di bahagian lain pula.

Bukti Islam Mengutamakan Penjagaan Kebersihan Diri

Pasti ada yang tertanya-tanya apakah bukti Islam menitikberatkan kebersihan. Hal ini kerana, hari ini kebanyakkan masyarakat dunia memandang negara bukan Islam lebih bersih daripada negara Islam.

Contohnya di negara Jepun. Majoritinya orang bukan Islam tetapi kebersihannya amat mendapat pujian. Bagaimana ini boleh berlaku?

Jawapannya mudah. Kita hanya menjadi umat Islam tetapi tidak mengamalkan Islam. Islam bukan sekadar mengaku tetapi ia perlu dilakukan.

Islam bukan sekadar dibibir tetapi Islam juga harus dihati. Islam mesti dibuktikan dengan perbuatan. Itulah jawapannya.

InsyaaAllah, apabila Islam diamalkan dan dijadikan cara hidup kita pasti keindahan Islam akan dapat dirasai bersama. Tidak kira orang Islam ataupun orang bukan Islam. Jom kita lihat dalil dan bukti Islam amat menitikberatkan hal kebersihan.

#1. Mengambil Wuduk

Daripada Utsman R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosanya daripada badannya sehinggakan ia turut keluar melalui bawah kuku-kukunya.”Hadis Riwayat Muslim

Seperti yang kita tahu, berwuduk adalah wajib sebelum solat dilaksanakan. Tanpa berwuduk ibadah solat kita tidak sah.

Berwuduk adalah amalan yang lazimnya dilakukan setiap hari. Setiap orang Islam akan mengerjakan solat fardu sebanyak lima waktu. Dengan itu secara tidak sedar, kita telah membersihkan anggota badan kita sebanyak lima kali.

Hadis di atas mengajar kita supaya mengelokkan pula wuduk kita. Di sini kita sudah tahu bahawa Islam cukup menjaga kebersihan dalam hal ibadah.

#2. Menjaga Kebersihan Masjid

Daripada Abu Said Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Orang yang mengeluarkan gangguan ataupun kotoran dari masjid, Allah membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.”Hadis Riwayat Ibnu Majah

Walaupun sekecil mana sekalipun tetap diajar dalam Islam. Itulah indahnya Islam. Ia memandu kita supaya dapat menjalankan kehidupan dengan sebaiknya.

Lihatlah betapa Islam memandang berat tentang kebersihan. Kebersihan itu bukan hanya di masjid sahaja perlu dijaga, bahkan di mana-mana sahaja kita berada.

#3. Bersugi

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya tidak memberatkan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi setiap kali ingin solat.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Kebersihan mulut adalah perkara yang turut menjadi perhatian dalam Islam. Hal ini kerana, kehidupan seharian kita banyak melalui komunikasi sesama manusia. Dalam rumah tangga, bersama rakan-rakan, bahkan dalam pekerjaan.

Kita sebagai umat Islam haruslah menyedari betapa pentingnya menjaga kebersihan. Kebersihan ini dapat mencerminkan diri kita. Adakah seorang yang berdisplin atau sebaliknya?

Kesimpulan

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)”Surah Ash-Shams 91:9

Jadikan menjaga kebersihan sebagai budaya dan identiti orang Islam. Janganlah kerana sifat ‘buruk’ kita menyebabkan Islam dipandang serong dan rendah.

Sama-samalah kita berubah dan memperbaiki diri. Semoga ada kebaikan yang akan menuruti. Insha Allah.

Rujukan;
1. Ringkasan Riyadhus Solihin
2. Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W (Penulis: Zulkarnain Dollah)
3. Terjemahan al-Quran




No comments:

Powered by Blogger.