Hazama Teruja Kolaborasi Lagu Patriotik Dengan Tun Mahathir
Penyanyi Hazama mendedahkan dia akan muncul dengan sebuah lagu patriotik berjudul Anak Bangsa Malaysia berkolaborasi dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 36, berkata, lagu tersebut bakal dilancarkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.
Menurut Hazama yang juga bertindak sebagai penerbit berkata, proses rakaman telah selesai dijalankan termasuk proses memasukkan suara perdana menteri.
“Lagu ini telah siap direkodkan. Proses seterusnya adalah rakaman muzik video dan kami cuba untuk mendapatkan penglibatan Tun dalam muzik video ini.
“Saya sendiri secara peribadi mahu bertemu dengan Tun kerana beliau merupakan pemimpin yang tidak hanya dihormati di negara ini sahaja sebaliknya turut disegani di seluruh dunia,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video single terbaharunya, Peneman di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.
Kali pertama berkolaborasi dengan ahli politik, Hazama menegaskan dia bebas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mengetuai negara.
Menurut Hazama dia tidak mahu melibatkan diri dengan mana-mana fahaman politik sebaliknya kolaborasi ini terjalin di atas sumbangannya sebagai anak Malaysia.
“Saya hormati siapa sahaja yang menjadi ketua negara. Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka.
“Sebelum ini saya selalu nyanyi lagu-lagu cinta sahaja dan kali ini dapat peluang nyanyi lagu patriotik, saya rasa dapat menyumbang sesuatu kepada negara,” ujar suami kepada pemuzik Genervie Kam ini. – KopiPlanet.com
The post Hazama Teruja Kolaborasi Lagu Patriotik Dengan Tun Mahathir appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: