Ads Top

Beza Antara 2 Insan, Seumpama Langit Dan Bumi

Alhamdulillah kita sudah memasuki bulan Ramadan. Cuba kita hitung berapa ramai kenalan, teman, sahabat mahupun saudara kita yang telah dijemput Allah tanpa sempat menikmati Ramadan?

Perhatikan hadith perihal 2 sahabat nabi S.A.W yang berbeza tahun matinya ini:

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ رَجُلَيْنِ مِنْ بَلِيٍّ قَدِمَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ إِسْلَامُهُمَا جَمِيعًا فَكَانَ أَحَدُهُمَا أَشَدَّ اجْتِهَادًا مِنْ الْآخَرِ فَغَزَا الْمُجْتَهِدُ مِنْهُمَا فَاسْتُشْهِدَ ثُمَّ مَكَثَ الْآخَرُ بَعْدَهُ سَنَةً ثُمَّ تُوُفِّيَ قَالَ طَلْحَةُ فَرَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ بَيْنَا أَنَا عِنْدَ بَابِ الْجَنَّةِ إِذَا أَنَا بِهِمَا فَخَرَجَ خَارِجٌ مِنْ الْجَنَّةِ فَأَذِنَ لِلَّذِي تُوُفِّيَ الْآخِرَ مِنْهُمَا ثُمَّ خَرَجَ فَأَذِنَ لِلَّذِي اسْتُشْهِدَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيَّ فَقَالَ ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ يَأْنِ لَكَ بَعْدُ فَأَصْبَحَ طَلْحَةُ يُحَدِّثُ بِهِ النَّاسَ فَعَجِبُوا لِذَلِكَ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثُوهُ الْحَدِيثَ فَقَالَ مِنْ أَيِّ ذَلِكَ تَعْجَبُونَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا كَانَ أَشَدَّ الرَّجُلَيْنِ اجْتِهَادًا ثُمَّ اسْتُشْهِدَ وَدَخَلَ هَذَا الْآخِرُ الْجَنَّةَ قَبْلَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَيْسَ قَدْ مَكَثَ هَذَا بَعْدَهُ سَنَةً قَالُوا بَلَى قَالَ وَأَدْرَكَ رَمَضَانَ فَصَامَ وَصَلَّى كَذَا وَكَذَا مِنْ سَجْدَةٍ فِي السَّنَةِ قَالُوا بَلَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا بَيْنَهُمَا أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Talhah bin Ubaydillah R.A menceritakan, pada suatu hari 2 orang lelaki dari Suku Baliy datang bertemu Rasulullah S.A.W. Kedua-dua mereka memeluk Islam secara serentak.

Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid.

Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian dia pun meninggal dunia. Talhah menyambung:

“Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua berada di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu menjemput lelaki yang lewat mati memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan menjemput lelaki yang gugur syahid lebih awal itu memasuki syurga. Malaikat kemudiannya datang semula kepadaku dan berkata: “Pulanglah dahulu, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.”

Menjelang pagi Talhah menceritakan mimpinya itu kepada orang ramai. Mereka berasa hairan dengan mimpinya itu. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah S.A.W dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda:

“Apa yang menghairankan kamu semua?”

Mereka menjawab:

“Wahai Rasulullah S.A.W! Lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi mengapa kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.”

Jawab Nabi S.A.W:

“Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun?”

Jawab mereka:

“Benar.”

Sambung baginda lagi:

“Bukankah dia telah mendapati bulan Ramadan dan berpuasa di dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu?”

Jawab mereka:

“Benar.”

Sabda Nabi S.A.W lagi:

“Maka beza antara mereka lebih jauh daripada langit dan bumi.”Sunan Ibn Majah

Semoga kita benar-benar bersyukur dengan nikmat Ramadan tahun ini dengan pengisiannya kerana belum tentu esok atau Ramadan tahun hadapan milik kita.




No comments:

Powered by Blogger.