Ads Top

‘Upgrade’ Diri Anda Dengan 8 Nilai Ini Untuk Menghadapi Dunia Moden

Seorang Muslim yang berkualiti akan berkembang seiring dengan perkembangan dunia dan apa yang ada di sekelilingnya. Mereka tahu bahawa dunia yang sentiasa berubah memerlukan seorang Muslim yang tidak ‘rigid‘, berfikiran terbuka malah fleksibel dan boleh memahami apa yang berlaku. Menyedari hakikat ini, di sini kami sediakan 8 nilai yang perlu di ‘upgrade‘ dalam diri seorang Muslim di dunia moden ini.

#1- Tidak Menghukum Orang Lain

Di dunia yang serba cepat ini, terlalu mudah untuk kita menilai sesuatu pada kadar ‘face value’ sahaja dan menghukum orang lain tanpa usul periksa. Apa yang dilihat dan dibaca di ruang maya media sosial dinilai pada kadar permukaan.

Jika ia adalah perkara yang tidak jelas, hujah tidak masak, ambil keputusan untuk berhenti sejenak dan cari kepastian tentang nya. Seorang muslim diajar untuk tidak menghukum orang lain tanpa usul periksa.

#2- Tidak Memaksa Orang Lain Suka Pada Diri Sendiri

Seorang Muslim tahu bahawa dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Mereka tahu bahawa akan ada orang yang suka pada mereka dan ada juga orang yang tidak akan senang dengan apa yang mereka lakukan. Selagi mana prinsip yang dipegang benar dan masih bertepatan dengan apa yang ditunjukkan oleh agama, maka tidak ada masalah.

#3- Tidak Ego Untuk Menerima Teguran

Seorang muslim juga tidak sombong atau ego untuk menerima teguran dan belajar daripada orang lain. Menjadi seorang muslim dan mempunyai ilmu agama tidak membuat kan seseorang itu betul dalam semua perkara.

Mereka barangkali tahu tentang hal agama, tetapi mungkin tidak dalam hal lain seperti ilmu sosial dan kemanusian, sains dan lain-lain. Kemahiran untuk meluaskan sudut pandang dan melakukan hubung kait antara ilmu yang pelbagai adalah pelajaran yang berpanjangan.

#4- Melayan Semua Orang Dengan Rasa Hormat

Seorang muslim juga melayan semua orang dengan rasa hormat – tidak kira orang yang mereka temui di jalanan, di masjid, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja. Mereka tidak memandang diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

#5- Murah Hati

Dunia moden mementingkan kemahiran dan prestasi dalam setiap apa yang dilakukan. Muslim yang murah hati tidak lokek untuk berkongsi tips, ilmu serta peluang baik yang mereka tahu dapat memberi manfaat serta dapat membantu meningkatkan prestasi orang lain di sekeliling mereka.

#6- Boleh Dipercayai

Nilai ‘trust’ atau percaya adalah nilai yang sangat penting bagi seorang Muslim di dunia moden. Ia lahir dari sikap jujur yang diamalkan oleh diri sendiri. Ia penting kerana seorang yang jujur lebih mudah dipercayai dan didekati.

Orang di sekeliling tahu bahawa seorang Muslim yang jujur boleh diharap, amanah dan tidak akan memberi ancaman atau menyakiti orang lain. Lihat bagaimana nilai jujur yang ada pada diri baginda Rasulullah SAW ketika kecil sehingga beliau digelar al-amin (seorang yang amanah) sehingga membuatkan orang ramai percaya dengan dakwah yang disampaikan serta terpikat dengan Islam.

#7- Tahu Prioriti

Prioriti di sini bermaksud mengutamakan hal yang penting dan yang memang perlu diutamakan. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan: Pertama, prioriti dari sudut pemikiran. Kedua, prioriti dalam hal-hal luaran sama ada kerja sendiri, tugasan, dan juga sewaktu berurusan dengan orang.

Mereka dapat menilai dengan baik apa yang perlu dan tidak perlu, apa yang patut dan tidak patut dilakukan, tidak ‘overthinking’ memikirkan hal-hal yang tidak penting, dan sebagainya.

#8- Tahan Cabaran

Komunikasi di dunia maya sekarang memudahkan orang melemparkan kritikan yang tidak membina dan tidak matang. Seorang Muslim perlu membina nilai kekuatan dalaman. Kritikan yang diterima dilihat secara objektif, dan tidak menganggap semua kritikan sebagai satu serangan peribadi (‘personal attack’).

Mereka tidak akan mudah melenting, cepat membuat kesimpulan, berasa terhina dengan teguran atau ingin membalas dendam. Jika kritikan tersebut benar, maka mereka menerima. Tetapi jika tidak benar malah menyimpang, maka kritikan tersebut diabaikan sahaja.

Semoga dengan nilai-nilai baru ini yang ditanam dalam diri menjadikan kita seorang Muslim yang lebih berkualiti, serta mampu untuk membawa nilai Islam meskipun di zaman moden yang penuh dengan cabaran.




No comments:

Powered by Blogger.