Ads Top

Yura Yunita Kepingin Berduet Dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza

Penyanyi Indonesia, Yura Yunita yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan realiti nyanyian The Voice Indonesia berkata dia bersedia untuk menerjah industri seni Malaysia selepas mendapat sambutan yang cukup memberansangkan daripada penduduk di tanah airnya.

Menurut Yura atau nama sebenarnya, Yunita Rachman, 28, yang cukup popular dengan single Cinta Dan Rahasia, selepas peminat di Indonesia, muzik video lagunya banyak ditonton peminat dari Malaysia dan itu menyebabkan dirinya ingin lebih mendekati peminat di sini.

“Saya sudah berada di Malaysia sejak minggu lalu bagi tujuan untuk mempromosikan album terbaharu berjudul Merakit. Saya tampil dengan album pertama pada 2014.

“Selepas keluar The Voice, saya terus buat album agar momentum dan semangat saya dalam bidang seni dapat diteruskan,” katanya kepada KopiPlanet.com

Yura ditemui pada majlis sidang media pelancaran Merakit yang diadakan di Hotel Alila, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi sidang media itu juga, Yura turut menyatakan keinginannya untuk berduet dengan penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang baharu sahaja selesai mengadakan konsert meganya pada Sabtu lalu.

Pada konsert itu juga, Yura telah diberikan peluang sebagai artis pembukaan dengan menyampaikan dua lagu hitsnya berjudul Cinta Dan Rahasia serta Buka Hati.

“Saya cukup berbesar hati diberikan kesempatan menjadi artis pembukaan untuk konsert Siti Nurhaliza. Saya juga kalau boleh mahu bekerjasama Siti menerusi satu lagu duet di masa akan datang,” katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut tentang album Merakit, Yura mengatakan ia adalah sebuah catatan peribadinya yang ditulis dalam bentuk lagu bagi memberikan rasa lebih dekat dengan peminat.

“Berkarya melalui muzik adalah salah satu ekspresi saya sebagai seorang pemuzik bebas, saya bebas untuk menentukan hala tuju muzik saya. Muzik yang dibawakan saya ini ada pengaruh jazz, blues, funk, groove dan juga R&B.

“Awal tahun ini saya telah melancarkan single terbaharu Merakit yang menceritakan bagaimana cara saya yang sebelum ini banyak halangan tapi kini mampu untuk mengejar mimpi mencapai cita-cita untuk bergelar seorang penghibur,” ujarnya lagi.

Penyanyi kelahiran Bandung ini memulakan kerjayanya di kala usia baharu mencecah 15 tahun. Walaupun masih lagi boleh dikatakan penyanyi baharu, Yura sudah pun menggumpul dua buah trofi yang menjadi dambaan ramai penyanyi iaitu diberi penghargaan Penyanyi Solo Wanita Terbaik di Anugerah Muzik Indonesia 2017 dan 2018 untuk dua tahun berturut-turut. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.