Ads Top

Aura Siti Nurhaliza Masih Berbisa, Kekal Penghibur No.1 Negara

Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara akhirnya melabuhkan tirai pada malam Sabtu lalu. Kehangatannya cukup dirasai lebih 10,000 peminat yang memenuhi segenap inci ruang dalam Axiata Arena, Kuala Lumpur.Masih berbisa! Itu yang boleh disimpulkan selepas menonton keseluruhan konsert mega penyanyi no.1 negara ini.

Memulakan tirai persembahan dengan segmen lagu Etnik Kreatif, Siti memilih lagu Badarsila sebagai lagu pembukaan sebelum meneruskan persembahan dengan seleksi lagu lain seperti Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah, Nirmala, Balqis, Hati Kama dan menamatkan segmen pertama itu dengan lagu berhantunya, Cindai.

Segmen itu turut didedikasikan Siti kepada komposer yang banyak berjasa kepadanya iaitu Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Untuk segmen kedua, Siti memilih lagu-lagu balada popular dendangannya seperti Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti, Intrig Cinta, Bisakah dan Biarlah Rahsia yang turut di’sing-along’ bersama puluhan ribu peminat dalam stadium itu.

Siti juga tidak ketinggalan menceritakan memorinya bersama seorang lagi komposer yang cukup yakin dengan bakatnya iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan. Menurut Siti, beliau tidak akan melupakan jasa Adnan dan isterinya yang sudi menumpangkannya ketika di awal kerjayanya di Kuala Lumpur.

Dalam pada bergembira, Siti juga tidak lupa akan tragedi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor dan insiden tembakan pengganas di Christchurch, New Zealand. Siti mengetuai 10,000 peminat bertafakur selama seminit bagi mendoakan kesejahteraan kesemua mangsa yang terlibat dalam dua tragedi tersebut.

Sebelum memasuki segmen ketiga, Siti menjemput penyanyi Indonesia, Tulus bagi menyanyikan lagu Seindah Biasa bersama-samanya.

Meneruskan momentum konsert, Siti kemudiannya meneruskan dengan lagu Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Purnama Merindu, Anta Permana, Jaga Dia Untukku, Destinasi Cinta, Lebih Indah dan menutup persembahan dengan Bersandar Cinta.

Ternyata aura anak jati Kuala Lipis, Pahang ini tidak perlu dipertikaikan apabila stamina Siti dilihat cukup bertenaga sepanjang lebih dua jam durasi persembahan.

Sebelum KL, Siti terlebih dahulu menjayakan konsert jelajah di Jakarta, Indonesia dan Singapura.

Konsert Siti Nurhaliza On Tour dibawakan oleh Shiraz Projects dan Aubrey Suwito merupakan pengarah muzik bagi konsert tersebut.

Penyanyi Indonesia, Yura Yunita dan penyanyi kacukan Jerman-Malaysia, Natasha Sass telah dipilih menjadi artis pembukaan konsert di KL. – KopiPlanet.com

Foto: Instagram CTDK

The post Aura Siti Nurhaliza Masih Berbisa, Kekal Penghibur No.1 Negara appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.