Ads Top

Noraniza Idris Buat Konsert Bukan Sebab Meniru Artis Seangkatan

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Etnik Kreatif Malaysia, Noraniza Idris bakal tampil dengan beberapa siri showcase jelajah sebelum acara kemuncak konsert di Istana Budaya dan di Singapura.

Menurut Noraniza, sebelum mengadakan konsert berskala besar, Malai Solo di Istana Budaya tahun hadapan, dia terlebih dahulu akan ‘warm up’ dengan mengadakan Sawo Matang – Noraniza Idris Special Showcase yang bakal berlangsung dari 12 hingga 14 April ini di Matic, Kuala Lumpur.

“Saya buat konsert bukan sebab terikut-ikut dengan artis seangkatan yang sekarang tampil dengan konsert mereka. Saya bukan seorang yang suka meniru sebaliknya saya nak irama Malaysia terus dipertahankan dan diteruskan kepada generasi baharu.

“Disebabkan itu saya tampil dengan konsert siri jelajah ini agar remaja sekarang menghargai irama keseniaan kita, kalau kita tak pertahankan siapa lagi nak buat kan,” katanya kepada KopiPlanet.com

Noraniza ditemui pada majlis sidang media Siri Jelajah Malai Solo di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur semalam.

Program itu akan dimulakan dengan Sawo Matang Noraniza Idris Special Showcase (Matic, Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 April 2019), Iktiraf Noraniza Idris In Concert Singapore (9 November 2019) dan diakhiri Malai Solo Noraniza Idris In Concert (2 hingga 4 April 2020).

Pelantun lagu hit Awallah Dondang ini berkata perancangan untuk mengadakan konsert sudah direncana sejak tahun lalu dan ia menelan kos sebanyak RM2 juta bagi keseluruhan konsert jelajah tersebut.

“Sepanjang 30 tahun karier saya, inilah baru pertama kali saya mengadakan konsert besar-besaran. Saya perlu ada kekuatan luar biasa sebab satu saat silap akan jejaskan keseluruhan show.

“Apabila sudah merancang kita perlu teruskan, setakat ini saya tidaklah terpengaruh dengan konsert artis seangkatan. Saya tak paksa diri pun,” katanya lagi.

Untuk persembahan Sawo Matang Noraniza Idris Special Showcase di Matic pada 12 hingga 14 April ini, ia akan melibatkan seramai 100 artis kebudayaan dengan lapan segmen transformasi etnik pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia.

Tiket berharga RM99, RM119, RM139, RM169 dan RM189 boleh didapati menerusi Harithmai Production di talian 019-3391445, 018-8714305, 011-37700894 atau 018-3981810. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.