Ads Top

Gaya & Keunikan Muzik Iqbal M. Tawan Hati Datuk M. Nasir

Pemilik syarikat rakaman Luncai Emas, Datuk M. Nasir berkata beliau tertawan dengan gaya dan keunikan muzik kumpulan Iqbal M. sehingga menyebabkannya melamar mereka menjadi artis di bawah label tersebut.

Iqbal M. yang dianggotai lima anak muda iaitu Iqbal (vokal), Johan (gitaris), Fei (gitaris), Shah (bass) dan Aidil (drummer) juga dilihat mempunyai hala tuju dan imej tersendiri yang mahu diketengahkan oleh kumpulan tersebut.

“Saya menawarkan kontrak kepada Iqbal M. kerana saya dapat lihat hala tuju mereka dalam bidang muzik. Selain itu, kalau dengar muzik yang dibawakan mereka cukup unik dan jarang-jarang dibawakan oleh kumpulan-kumpulan lain di luar sana.

“Ekspresi mereka juga saya cukup suka kerana mereka tidak ikut sahaja cakap orang sebaliknya memang ketengahkan apa yang mereka nak. Kiranya itu asas yang penting untuk artis, mereka kena lakukan apa yang mereka suka daripada ikut apa yang disuruh oleh orang lain,” katanya kepada KopiPlanet.com

M. Nasir ditemui pada majlis pelancaran album Iqbal M. berjudul Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang (PSJKB) yang diadakan di The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Iqbal mewakili rakan-rakannya berkata mereka membawakan genre muzik Alternative Indie Rock dan bersedia menawan hati peminat baharu.

“Kami selesa bermain dalam gig sebab dari situ akan ada peminat baharu yang mula mencari kami di Internet dan begitulah selalunya bagaimana kitaran peminat kami berkembang.

“Iqbal M. menyasarkan sasaran peminat dari usia 18 hingga 30-an. Menerusi album ini sebanyak tujuh buah lagu saya cipta sendiri dan ada satu lagu yang cukup peribadi iaitu berkisarkan tentang kucing peliharaan saya yang diberi judul Seri Dewi Damak.

“Bercakap mengenai tawaran daripada Luncai Emas, siapa yang tidak teruja apabila ditawarkan oleh sifu Datuk M. Nasir kan? Sudah pastinya kami ingin buat yang terbaik seiring dengan label syarikat rakaman kami,” ujar Iqbal.

Album PSJKB kini sudah boleh didapati menerusi Gudang Suara Records dengan harga RM30. – KopiPlanet.com

The post Gaya & Keunikan Muzik Iqbal M. Tawan Hati Datuk M. Nasir appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.