Ads Top

Ernie Zakri Enggan Nyanyikan Lagu Misteri Selama Setahun

Penyanyi Ernie Zakri menegaskan dia enggan untuk menyanyikan lagunya sendiri berjudul Misteri dalam mana-mana persembahan selama setahun.

Menurut Ernie, dia mengambil keputusan tersebut semata-mata mahu memandang ke hadapan dan tidak mahu mengenang kembali segala yang berlaku sebelum ini.

“Untuk tempoh setahun ni saya berani berjanji untuk tidak menyanyikan lagu Misteri. Kalau ada penganjur yang mahu saya menyanyikan lagu itu, saya akan terangkan kepada mereka.

“Kalau bercakap pasal move on, saya memang betul-betul kena lakukannya dan mahu buka buku baharu. Saya sayang dengan lagu berkenaan, tetapi mungkin rezeki tidak berpihak kepada saya,” ujarnya.

Ernie berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar acara Minggu Setiausaha yang berlangsung petang tadi.

Isu mengenai lagu berkenaan timbul apabila ia tidak tercalon dalam saingan separuh akhir Muzik Muzik 33 sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan peminatnya.

Sehinggakan, ada yang mendakwa kegagalan lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu berkaitan dengan campur tangan bekas syarikat rakamannya iaitu FMC Music.

Jelas Ernie, keputusan yang dibuat ini juga tiada berkaitan dengan unsur dendam, biarpun diberitahu kegagalan lagu tersebut gagal untuk layak kerana gagal mendapat undian yang mencukupi.

“Secara jujurnya apabila lagu itu gagal layak, selama seminggu saya memikirkan apa punca yang membuatkan ia tidak layak, misalnya adalah vokal saya yang tidak cukup baik atau tidak bagus untuk saya.

“Namun bila difikirkan semula, tiada apa yang perlu dipersalahkan untuk diri sendiri. Apa yang penting saya perlu redha dan move on. Lagipun dengan apa yang berlaku bukan bermakna karier saya dah berakhir,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Ernie Zakri Enggan Nyanyikan Lagu Misteri Selama Setahun appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.