Ads Top

Didiklah Anak Anda Sebelum Kelahirannya!

“Didiklah anakmu 25 tahun sebelum ia lahir”

Sewaktu saya berada di tingkatan lima, ustazah saya selalu berpesan jadilah seorang yang baik dari sekarang untuk kebaikan anakmu di masa depan.

Saya tertarik dengan nasihat itu sehinggalah saya terbaca mengenai bagaimana Imam Syafie diberikan didikan sebelum kelahirannya.

Hal ini bermaksud, ibu bapa Imam Syafie juga berada dalam suasana tarbiah (didikan) yang baik ketika mereka di usia muda lagi.

Dalam penulisan artikel kali ini, saya tidak mahu menulis panjang mengenai kisah tokoh hebat ini. Apa yang saya ingin sampaikan bagaimana remaja kita sekarang mampu melahirkan generasi yang baik pada masa depan bermula daripada dirinya yang sekarang.

Teori Dan praktikal

Diakui ilmu teori dan praktikal adalah satu perkara yang sangat berbeza pada setiap individu. Perjalanan hidup setiap orang juga berbeza.

Maka, dalam konteks ini difokuskan kepada praktikal yang semua orang boleh mencapainya insya-Allah.

Hal ini kerana, sejauh manapun perbezaan cerita hidup kita dengan orang lain. Saya yakin setiap orang mempunyai fitrah kebaikan yang sama.

Mulakan Sekarang!

Formula nak jadi baik? Mesti kita dahulu jadi baik. Kebaikan yang kita semai dalam diri akan bercambah dan boleh menjadikan diri kita dalam lingkaran kebaikan. Maka, dari situlah kita semakin dekat dengan orang-orang yang ingin mencari kebaikan.

Apabila suasana menjadi positif, maka tidak silap lagi. Kita semakin mencorakkan aura positif lahir dalam diri kita. Apa kaitannya dengan pembinaan karakter anak-anak?

Pentingnya aura positif dan kebaikan mengalir dalam diri kita kerana ia akan memberi kesan kepada seluruh sistem tubuh badan kita.

Apabila kita berkahwin kelak, sudah pastinya aura positif itu akan mengalir pada anak-anak yang kita lahirkan. Maka, point pentingnya adalah kita mesti bermula daripada sekarang untuk menjadi baik!

Banyakkan Menuntut Ilmu

Saidina Ali Bin Abi Talib beresan mengenai ilmu;

“Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta itu terhukum. Harta itu berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah apabila dibelanjakan.”

Masya-Allah! Hebat sungguh kata mutiara ini. Maka, kita semua sangat dekat dengan ilmu. Antara mahu atau tidak sahaja. Tambahan pula, kita berada dalam dunia yang serba canggih.

Teknologi semakin maju dan maklumat yang diperoleh terasa pantas. Maka apa lagi alasan untuk tidak menuntut ilmu dari sekarang?

Jadilah ibu bapa yang sentiasa mencari ilmu. Ilmu bukan sahaja dalam buku tetapi apa yang kita lihat dan pelajari setiap hari itu juga adalah ilmu. Berjaya mengawal emosi dan menguruskan masa itu juga ilmu.

Apatah lagi dalam ilmu mendidik anak-anak sudah pasti ia sangat penting untuk dipelajari. Banyak kemahiran yang harus kita kuasai dahulu sebelum mendirikan rumah tangga ataupun yang sedang melayari bahtera itu.

Percaya! Dengan ilmu yang diamal akan memberi kebaikan buat insan cilik kita kelak. Insya-Allah.

Sentiasa Dekatkan Diri Dengan Allah

Sejauh mana kita melangkah dan tersasar jalan suatu hari nanti kita tetap akan kembali kepada Allah. Saya ingin semua rakan pembaca dan masyarakat di luar sana merasakan bahawa betapa pentingnya nikmat rasa ingin dekat dengan Allah itu.

Perasaan itu sungguh mahal. Saya ingin mengatakan bahawa dengan cara kehidupan kita sekarang amat memberi kesan kepada anak-anak kita kelak mahupun anak-anak kita yang ada sekarang (bagi yang telah berkahwin).

Hal ini merupakan satu formula bahawa untuk mendidik anak menjadi soleh maka kita mestilah wajib menjadi ibu bapa atau bakal ibu bapa yang soleh juga. Ibnu Al-Jauzi dalam kata-kata mutiaranya;

“Tanda seorang hamba semakin dekat dengan Allah ialah semakin baik tutur katanya.”

Subhanallah! Tutur kata setiap orang mencerminkan keperibadiannya. Maka, sama-samalah kita merefleksi diri bagaimana cara pertuturan kita sesama manusia dan bagaimana kita berfikir sebelum melontarkan kata-kata.

Hal ini kerana apa yang kita lontarkan daripada bicara kita itulah yang mencerminkan keperibadian diri dan hati kita. Semoga Allah S.W.T memberi kita kekuatan untuk bangkit memelihara diri kita.

Setiap orang layak merasai kebahagiaan dan jangan berputus asa dalam mendidik anak-anak generasi IT pada masa kini.

Moga ketabahan ibu bapa di luar sana dalam mendidik anak-anak mereka mendapat ganjaran yang terbaik di sisi Allah S.W.T kelak di akhirat sana. Amin. Insya-Allah.




No comments:

Powered by Blogger.