Ads Top

Belajarlah Daripada Pohon Kurma

Pernahkah anda terfikir bagaimana pohon kurma boleh tumbuh di tengah-tengah padang pasir yang panas, kering-kontang dan jarang-jarang sekali ditemukan sumber air?

Pasti anda kagum dan tidak menyangka dengan cara penanaman pohon kurma di kawasan Timur Tengah. Oleh itu, melalui penulisan ini, penulis akan merungkai bagaimana pohon kurma boleh hidup megah di bumi Arab, tanah yang gersang.

Menurut ahli pertanian, pohon kurma telah ditanam dengan berbekalkan biji benih kurma yang telah ditimbus sedalam dua ke tiga meter di dalam pasir dan telah ditutup dengan batu.

Fungsi batu tersebut adalah untuk menahan pertumbuhan kurma ke atas dan akan menyebabkan hambatan terhadap biji benih tersebut. Mengapa ia ditanam begitu?

Hal ini bagi membolehkan akar untuk tumbuh terlebih dahulu semaksima mungkin ke dalam tanah untuk mencari sumber air. Setelah akar sudah kuat, barulah ia akan naik dan tumbuh ke atas muka bumi.

Kejadian ini jelas membuktikan bahawa rahmat dan rezeki Allah ada di mana-mana, hatta di tengah perut bumi juga terdapat sumber air.

Berbalik kepada kisah penanaman pohon kurma ini, tahukah anda, sebelum tunas mulai tumbuh ke atas, ia akan berusaha menolak batu yang menutupinya untuk mencari matahari sebagai sumber fotosintesis pula.

Tunas yang tumbuh sudah mulai kuat untuk menolak batu tersebut kerana akar yang panjang ke dalam tanah tadi sudah kuat untuk memberikan sokongan.

Apabila pohon kurma sudah tumbuh di atas permukaan bumi, maka ia boleh hidup dengan baik walau dengan apa jua cuaca ekstrem yang melandanya.

Perumpamaan Manusia Seperti Pohon Kurma

Sebagai manusia, kita perlu belajar daripada apa yang ada di sekeliling. Hatta dari sekecil-kecil ciptaan. Seperti pohon kurma. Mengapa penulis menceritakan kisah pohon kurma, mengapa tidak pohon lain?

Hal ini supaya ingin kita mengambil walau sedikit iktibar dan ibrah daripada ciptaan Allah ini.

Sebelum pohon kurma tumbuh dengan megah di atas bumi Allah, ia telah diuji dengan tekanan batu terlebih dahulu. Akarnya pula akan mencari sumber kekuatan lain di perut bumi, iaitu air untuk membantunya hidup dan membesar.

Apabila akarnya sudah utuh dan kuat, maka ia sudah bersedia untuk menghadapi ujian yang lain di muka bumi. Pohon kurma hidup di kawasan tandus dan padang pasir yang tidak mempunyai sumber air dan keadaan cuaca yang tidak menentu, terlalu panas di siang hari dan terlalu sejuk di malam hari.

Namun, disebabkan oleh akarnya yang sudah kuat tertanam di bawah, maka ia boleh hidup dengan baik. Begitu juga manusia, kadang-kadang tekanan dan ujian yang Allah berikan kepada manusia bukan untuk menyusahkan dan membebankan manusia, namun untuk menguatkan lagi akar yang ada di hati manusia, iaitu akar keimanan kita sendiri.

Seperti firman Allah yang berbunyi:

(أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّـهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ)

(تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّـهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ)

Mafhumnya: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (Surah Ibrahim, 14:24-25)

Manusia itu sifatnya lemah. Tekanan dan ujian yang telah dilemparkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk membantu meningkatkan iman manusia. Antara perbezaan orang yang banyak tekanan hidup dan orang yang kurang tekanan hidup adalah mereka mampu untuk menghadapi dunia yang penuh fatamorgana ini dengan matang. Disebabkan itu, wujudnya perumpamaan yang berbunyi, “ujian itu mematangkan.”

Rezeki Allah ada di mana-mana. Sebagai manusia, kita tidak boleh berputus asa dengan rahmat dan rezeki Allah. Sentiasalah berdoa dan mecari kerana Allah suka akan hamba-Nya yang sentasa berdoa. Seperti firman Allah yang berbunyi:

(وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ ۚ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ)

Mafhumnya: Dan ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang berimn serta beramal soleh, dan ia menambahi mereka dari limpah karunia-Nya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. (Surah as-Shura, 42:26)

Belajarlah daripada pohon kurma. Ia keluar daripada tekanan batu dengan megahnya untuk tumbuh ke muka bumi. Begitu juga manusia yang keluar dari tekanan hidup saat sudah berjaya menghadapi ujian yang diberikan. Jadilah orang yang sabar dan teguh dalam menghadapi ujian hidup supaya kita boleh menjadi mukmin yang kuat dan dapat meneguhkan iman di hati.

Rujukan: muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.