Ads Top

Bertemakan Positif Selalu, Janna Nick & Izzue Islam Duta DFKL 2019

Memasuki tahun keenam penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2019), penganjurnya menerapkan tema Positif Selalu selain pelantikan dua selebriti popular, Janna Nick dan Izzue Islam sebagai duta.

Menurt Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan (TV3 & TV9), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nazri, beberapa pembaharuan juga dibuat bagi menyuntik elemen kelainan bagi penganjuran kali ini.

Antaranya pembaharuan pada bengkel dianjurkan yang kini hanya terbuka untuk 10 hingga 20 peserta uji bakat siri jelajah DFKL 2019.

“Dengan hanya memfokuskan kepada kumpulan kecil ini, kami boleh terapkan lebih banyak ilmu secara lebih dekat.

“Bakat baru juga akan disaring berdasarkan komitmen, disiplin, keyakinan dan minat mereka untuk ke peringkat seterusnya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sesi taklimat media DFKL 2019 di Theatrette, Balai Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Janna mengakui ia adalah satu tanggungjawab yang besar bagi dirinya untuk menggalas tugas sebagai duta DFKL 2019.

“Bertemakan Positif Selalu, saya melihat perkara ini dalam konteks kehidupan media sosial yang kini sudah menjadi rutin seharian kita.

“Siapa sahaja yang tidak ‘scroll’ akaun media sosial pada zaman kini kan. Jadi tanggungjawab saya dan Izzue di sini adalah untuk memberi kesedaran kepada netizen untuk sentiasa positif dan tidak meninggalkan komen-komen negatif di mana-mana platform media sosial,” kata Janna.

Bersetuju dengan pendapat Janna, Izzue turut terpanggil untuk ‘berkempen’ dengan menyebarkan positiviti dalam menggunakan laman sosial.

“Sekarang kita tengok ramai netizen suka mengecam dengan menulis komen-komen negatif. Tugas kami di sini adalah untuk menyebarkan positiviti. Kalau ada sesuatu benda yang kita tak suka di media sosial, daripada meninggalkan komen yang tidak baik, adalah lebih elok untuk kita ‘block’ atau’unfollow’ sahaja,” ujar Izzue.

Malam kemuncak majlis Anugerah DFKL 2019 akan diadakan pada 7 April ini bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kategori yang dipertandingkan seperti Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Lagu Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan dan Drama Rantaian Bahasa Cina.

Pemenang akan dipilih menerusi undian paling tinggi yang dibuat peminat menerusi laman sesawang www.dfkl.com.my sejak 1 Februari lalu hingga 25 Mac ini. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Janna Nick

The post Bertemakan Positif Selalu, Janna Nick & Izzue Islam Duta DFKL 2019 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.