BBB 2019 Tampilkan Tiga Peserta Baharu Cabar Achey, Shuk
Setelah penyanyi Mark Adam dinobatkan sebagai juara Bintang Bersama Bintang (BBB) pada tahun lalu, kini program terbitan TV3 itu kembali menemui penonton.
Untuk saingan BBB 2019, ia masih mengekalkan Achey dan Shuk sebagai peserta dan tiga peserta baharu iaitu Chiwan, Mamak Puteh dan Sharif Zero kini turut tampil memberikan saingan.
Pengurus Besar Pengurusan Jenama dan Rancangan, Zurina Othman berkata, BBB bukan hanya berkisar tentang sketsa lawak semata-mata kerana ia turut mencabar pelawak berkarya dengan kreatif untuk menghiburkan penonton.
“Kebolehan barisan pelawak yang baru menyertai BBB kali ini tidak harus diperlekehkan kerana mereka berani menyahut cabaran untuk bersaing dengan Achey dan Shuk yang sudah berpengalaman sebelum ini.
“Setiap pelawak mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Kreativiti mereka dalam berkarya dan memberi variasi dalam setiap persembahan mereka yang akan menentukan kredibiliti sebagai seorang pelawak,” ujarnya.
Masih mengekalkan format pertandingan terdahulu dengan menawarkan RM10,000 sebagai ganjaran untuk pelawak yang mendapat markah tertinggi dan juara mingguan akan memperoleh pas untuk layak bersaing ke final Arena BBB 2019.
Peserta perlu memanfaatkan masa empat minit beserta lagu (dua minit) dalam sketsa mereka untuk merebut juara mingguan serta dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk memantapkan lagi persembahan.
Dalam pada itu, selaku juara BBB 2018, Mark Adam telah diberi penghormatan untuk bergandingan sebagai juri tetap yang merangkumi 50 peratus markah. Manakala 50 peratus lagi markah adalah menerusi undian penonton di laman web www.xtra.com.my/BBB2019.
Menampilkan Elly Mazlein sebagai pengacara, BBB 2019 disiarkan pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam di TV3 selama lapan minggu bermula pada 3 Mac 2019. – KopiPlanet.com
The post BBB 2019 Tampilkan Tiga Peserta Baharu Cabar Achey, Shuk appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: