Ads Top

5 Panduan Ringkas Bagi Muslim Yang Baru Memeluk Islam

#1- Kekalkan Identiti Anda

Majoriti rakyat Malaysia memang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Bagi anda yang baru memeluk Islam, anda tidak perlu mengubah identiti atau nama – baik anda berasal daripada bangsa India, Cina atau bangsa/etnik yang lain.

Anda tidak perlu pun mengubah cara pakaian seperti memakai jubah, baju kurung, memakai songkok atau mengubah cara makan (makan dengan tangan contohnya). Perkara tersebut bukanlah perkara yang utama dalam agama Islam. Sebaiknya ditumpukan dahulu kepada mempelajari perkara asas seperti cara berwuduk dan solat dengan betul serta prinsip-prinsip asas yang lain dalam Islam.

#2- Bersosial Secara Sihat (Tidak Bersendirian)

Banyakkan bergaul dengan Muslim yang lain, yang mampu sama-sama mengajak ke arah kebaikan. Islam adalah agama yang menggalakkan pergaulan, serta kasih sayang sesama makhluk.

Banyak tempat-tempat yang memungkinkan kita bertemu dengan orang yang dalam perjalanan yang sama ingin mengenali Islam contohnya di Multiracial Reverted Muslim yang diasaskan oleh Saudara Firdaus Wong Wai Hung. Dari situ, pasti kita dapat menambah kenalan dan menguatkan hubungan persaudaraan.

#3- Biar Sedikit Tetapi Konsisten

Islam tidak memberatkan para penganutnya dengan amalan yang berlebih-lebihan. Apa yang diperintahkan adalah pada kadar yang mampu dilakukan oleh kebanyakan orang. Malah amalan yang wajib juga mempunyai ‘rukhsah’ atau keringanan, contohnya solat ketika dalam perjalanan yang panjang. Salah satu prinsip dalam beramal ialah ‘biar sedikit tetapi berterusan’

عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم Ø£َØ­َبُّ الأَعْÙ…َالِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ اللَّÙ‡ِ تَعَالَÙ‰ Ø£َدْÙˆَÙ…ُÙ‡َا ÙˆَØ¥ِÙ†ْ Ù‚َÙ„َّ

Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. Bukhari, no. 6465 – Hadis Sahih)

#4- Mencari Guru Yang Sebenar Dan Dipercayai

Untuk mempelajari ilmu agama, kita memerlukan guru. Memang ada maklumat-maklumat yang boleh dicari di internet, namun ada perkara yang memerlukan penjelasan dan penerangan lanjut yang mungkin sukar difahami dengan hanya membaca.

Carilah guru yang sesuai yang menepati ilmu yang kita ingin dalami. Jika kita mahu faham tentang fardhu ain dan bacaan Al-Quran, maka rujuklah guru yang boleh mengajar fardhu ain dan bacaan Al-Quran.

Jika kita mahu faham tentang perbahasan fiqh dan juga hukum, maka perlu dirujuk pula guru yang arif dalam bidang fiqh dan hukum. Tidak semua orang yang dipanggil ustaz itu mahir dalam semua bidang.

#5- Jauhkan Diri Daripada Perbahasan Yang Tidak Sihat

Dunia media sosial sekarang sarat dengan perbahasan yang tegang dan memeningkan – ini termasuklah hal-hal yang berkaitan agama yang kadang-kadang dibincangkan oleh orang yang tidak mempunyai ilmu yang mendalam berkenaan hal tersebut.

Sebaiknya rujuklah mereka yang lebih arif dalam bidang tersebut seperti pihak Mufti Wilayah Persekutuan yang kini aktif memberi respon kepada permasalahan baru yang muncul dalam masyarakat.

Semoga dengan lima tips ini mambu membantu saudara Islam di luar sana yang memerlukan dorongan dan sokongan. Semoga perjalanan kita mengenali Islam diberi kemudahan oleh Allah.




No comments:

Powered by Blogger.