Telefon Pintar Atau Buku?
Teknologi komputer semakin pantas berkembang sehingga lahir pula ‘komputer kecil’ yang dikenali sebagai gajet.
Gajet didefinisikan sebagai alat elektronik atau komputer kecil yang dapat memenuhi keperluan khusus manusia.
Dahulu telefon mempunyai dua fungsi sahaja iaitu menghantar teks mesej dan membuat panggilan.
Namun, dengan inovasi yang semakin berkembang, lahir pula telefon pintar yang mempunyai pelbagai fungsi. Bukan sahaja menjadi alat perhubungan dan komunikasi malah boleh menjadi peranti dengan aplikasi sosial, hiburan dan permainan.
Ruang siber yang boleh diakses melalui telefon pintar memberi kelebihan kepada pengguna untuk meneroka suatu ‘ruang tambahan’.
Ruang tambahan itulah digelar sebagai teknologi internet yang dapat memudahkan urusan hidup samada urusan penyampaian maklumat dan berinteraksi antara satu sama lain.
Dengan adanya media sosial seperti facebook, twitter, whatsapp dan telegram, telefon pintar kini menjadi alat komunikasi paling popular dan paling ramai pengguna. Tidak dapat dinafikan kehadiran teknologi internet telah dapat mengubah cara manusia belajar.
Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana teknologi siber yang mudah diakses dengan telefon pintar dapat menyumbang kepada, pembudayaan membaca dan mencari ilmu pengetahuan.
Menurut teori telekomunikasi moden, kewujudan media baru dan kemajuan dalam teknologi maklumat telah sikit demi sedikit meninggalkan media kertas.
Penggunaan internet dan media sosial yang keterlaluan juga boleh membantutkan minat masyarakat membaca buku, lebih-lebih lagi buku-buku ilmiah.
Televisyen, radio, telefon dan komputer telah ‘mencuri’ kebanyakkan masa membaca buku yang biasanya diamalkan secara ‘santai dan bersandar’.
Dengan adanya internet dan media sosial seperti facebook, twitter dan telegram, aktiviti membaca yang selalu dilakukan pada waktu lapang, kini sudah bertukar kepada tabiat membaca pada layar skrin berbanding membaca pada lembaran kertas dan naskah buku.
Dalam satu jurnal akademik yang dibentangkan di New Delhi pada tahun 2009, media telekomunikasi baharu yang wujud kini boleh dianggap sebagai ‘mesin penelan masa’ kerana ia telah banyak menghabiskan masa pengguna.
Dakwaan ini boleh jadi betul, kerana jika ditinjau kepada tabiat masyarakat pada masa ini yang sentiasa bersama dengan gajet seperti telefon pintar pada setiap masa.
Fenomena tersebut bertepatan dengan pendapat Shaharom Sulaiman dalam bukunya ‘Realiti Dan Ilusi Kehidupan Dalam Era Siber’ yang menyatakan;
“Kehadiran internet dan rangkaian telekomunikasi media sosial akan membentuk jaringan sosial yang baharu dan memberi kesan kepada kegiatan hidup seharian. Salah satu adalah penjadualan kembali kehidupan kerana masa yang dihabiskan untuk melayari internet sangatlah banyak sehingga boleh menggangu kerja-kerja lain.
Mungkin antara ‘kerja-kerja lain’ yang dapat disenaraikan adalah amalan membaca buku dan menimba ilmu pengetahuan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kepesatan peranti berkemampuan internet dengan aplikasi media sosial menjadi ancaman besar kepada pembudayaan ilmu dan tabiat membaca buku dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Semakin orang sibuk dengan media skrin, semakin jauh mereka daripada buku. Suatu masa dahulu, ketika media kertas sedang rancak diperluaskan di Kota Baghdad sekitar tahun 739 masihi, buku menjadi ikon dan simbol ketemadunan sesebuah bangsa.
Seorang sarjana muslim bernama Yaacubi pernah mengatakan bahawa ada terdapat lebih 100 buah kedai buku di pinggir Kota Baghdad dan ramai waraqeen yang mampu menjadi ‘jurufotokopi manusia’ untuk menyalin semula buku apabila diminta oleh pelanggan.
Cuba bayangkan, apakah ketagihan dan kecintaan umat Islam ketika zaman itu? Bukankah kepada buku dan ilmu?
Sememangnya kita tidak dapat menolak teknologi. Namun, kita perlu sedar teknologi hanyalah suatu alat bukanlah tujuan.
Jika tujuan menggunakan internet untuk perkara yang menambahkan kebaikan seperti menambah ilmu pengetahuan, tentu seseorang akan menemui pelbagai cara dan saluran.
Dengan melayari laman web, portal dan membaca status yang berunsurkan ilmu, dakwah dan bahan ilmiah seseorang tentu akan memperolehi sedikit sebanyak manfaat daripada kandungan yang disediakan.
Dalam masa yang sama, media kertas seperti buku dan majalah masih relevan untuk menjadi medium kepada masyarakat untuk mendapatkan informasi dan ilmu pengetahuan.
Bahkan masih dapat memenuhi keperluan kelompok pembaca yang fokus untuk mencari bahan rujukan yang diperlukan.
Manakala, media skrin seperti telefon pintar yang dilangsungkan dengan hubungan internet, boleh digunakan untuk saling ‘share’ ilmu pengetahuan dengan versi teks, gambar dan video dalam media sosial.
No comments: