Ads Top

Setelah Sekian Lama Diamkan Diri Mawi Muncul Kembali Buat Kejutan

PENYANYI dan pelakon yang kini bergelar sutradara filem, Mawi akui tidak cuba membuat gimik untuk dapatkan publisiti bagi karya layar perak pertamanya yang masih tidak berjudul.

Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani, 38, memberitahu Harian Metro, dia hingga kini masih mencari-cari judul sesuai untuk filem bergenre Islamik komedi arahannya itu.

“Filem ini masih tidak berjudul, bukan gimik’’ yang sengaja saya cipta untuk tujuan publisiti dan ditularkan. Memang sampai sekarang belum ada judul yang sesuai.

“Sebenarnya, sejak dari awal proses penggambaran filem ini lagi saya memang tak tahu nak letak judul apa untuk digunakan nanti.

“Namun, saya nekad teruskan saja penggambaran hingga selesai dan berharap judul sesuai itu akan diperoleh sebaik saja filem disiapkan sepenuhnya.

“Apapun, saya langsung tak duga sampai sekarang nampaknya masih belum dapat judul sesuai itu meskipun filem sudah diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tayangan,” katanya.

Menurut juara Akademi Fantasia 3 (AF3) dengan jolokan ‘Raja SMS’ itu, kemungkinan tarikh tayangan di pawagam akan diperolehnya pada minggu depan.

“Insya-Allah minggu depan akan dapat tarikh tayangan di pawagam. Alhamdulillah, kelmarin filem ini sudah dinilai oleh Skim Wajib Tayang.

“Jika tiada aral, saya akan membuat sidang media untuk filem ini pada Februari nanti. Bahkan, Insya-Allah mungkin judul filem juga diumumkan,” katanya.

Selain itu, Mawi juga lega dan bersyukur apabila hanya satu babak saja dipotong LPF. Ujarnya, dia juga akur dengan klasifikasi P13 diletakkan LPF untuk filem itu ditayangkan pada khalayak.

“Klasifikasi P13 berkenaan diberi atas faktor seperti babak perkelahian atau pertengkaran. Namun, cuma ada babak pergaduhan kecil saja dan dialognya pun berkias-kias. Babak maki hamun, memang tak ada langsung.

“Apapun, syukur Alhamdulillah juga kerana watak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang saya paparkan dalam filem ini tidak dipotong LPF.

“Sebenarnya, ada sedikit kebimbangan di hati saya jika babak LGBT itu akan berdepan pemotongan LPF. Tetapi, tak sangka babak itu diluluskan,” katanya.

Sehubungan itu, dalam karya terbaru ini juga Mawi masih lagi selesa menggandingkan tiga rakan baiknya iaitu Hazama, Along Cham dan Joey Daud sebagai pelakon utama

SUMBER:HMETRO




No comments:

Powered by Blogger.