Seorang wanita yang ditinggalkan di atas jambatan ketika masih bayi dahulu merayu agar ibu bapa kandungnya hadir ke majlis perkahwinannya
Seorang wanita China yang ditinggalkan di sebuah jambatan di Fuyang, wilayah Anhui 20 tahun yang lalu merayu agar ibu bapa kandungnya hadir ke majlis perkahwinannya.
Zhang Xiaoying, 20 menghubungi Fuyang Broadcasting dan Television Station dengan harapan dapat membuat rayuan di bandar yang didiami oleh 10 juta penduduk itu.
Menurut Xiaoying dalam wawancara tersebut, dia berharap ibu bapa kandungnya akan hadir di majlis perkahwinan itu nanti. “Saya hendak tahu berapakah umur mereka dan bagaimana dengan kesihatan mereka. Saya juga ingin tahu mengapa mereka tidak mencari saya semula.”
Xiaoying berkata dia tidak mahu menyalahkan ibu bapanya kerana mungkin mereka ada kesulitan sendiri. “Saya selalu termimpikan mereka tetapi tidak pernah melihat mereka dengan jelas. Dalam setiap mimpi, mereka pulang dan pergi semula,” kata Xiaoying.
Zhang Xiaoying yang ketika itu sedang menangis ditemui oleh seorang pekerja binaan, Zhang Hongqi di Jambatan Shuanglong pada pagi Jun tahun 1999. Hongqi cuba mencari ibu bapa bayi perempuan itu tetapi tidak jumpa lalu mengambil tanggungjawab untuk membawanya pulang dan membesarkannya.
“Ayah angkat saya memberitahu saya ketika itu saya kelihatan seperti baharu beberapa hari dilahirkan dan dipakaikan pakaian merah. Saya dimandikan dan diberikan pakaian anak mak cik angkat saya.” kata Xiaoying.
Hongqi menamakan bayi yang ditemui itu Xiaoying dan memutuskan tarikh dia menemui Xiaoying adalah hari lahir kanak-kanak itu. Hongqi tidak pernah berkahwin.
Xiaoying terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 10 tahun selepas bapa angkatnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat pembinaan pada tahun 2009. Sejak itu, Xiaoying tinggal bersama beberapa saudara dan menjalani kehidupan yang sukar. Dia juga terpaksa bekerja di restoran sebagai tukang basuh pinggan dan pelayan.
Meninggalkan bayi adalah kesalahan jenayah di China tetapi itu bukanlah perkara biasa. Tidak ada laporan rasmi mengenai masalah tersebut, tetapi laporan dari Kementerian Hal Ehwal Awam pada tahun 2010 mengatakan bahawa kira-kira 100,000 bayi telah ditinggalkan setiap tahun.
Untuk meminimumkan kemudaratan kepada kanak-kanak yang ditinggalkan, pihak berkuasa hal ehwal awam mula menubuhkan pusat perlindungan yang diletakkan di seluruh China pada tahun 2011. Antara tahun 2013 dan 2014, kira-kira 1,400 kanak-kanak, yang kebanyakannya cacat, didapati ditinggalkan dalam 32 pusat perlindungan tersebut.
Pengguna internet mengucapkan tahniah atas perkahwinan Xiaoying tetapi memberikan pendapat yang berbeza terhadap percubaan Xiaoying untuk mencari ibu bapanya kandugnya.
“Jangan cari mereka. Mereka bukan lagi ibu bapa anda sebaik sahaja mereka meninggalkan anda. Mereka tidak pernah mencari anda,” kata seorang pengguna Weibo.
Namun ada netizen yang memahami keadaan dan perasaan Xiaoying.
“Ini adalah satu simpulan di dalam hati yang tidak akan terlerai jika dia tidak menemui mereka. Dia sangat baik kerana cuba mencari ibu bapanya untuk mendapatkan restu. Mungkin mereka menghadapi kesulitan yang tidak dapat diluahkan. Saya berharap impiannya itu akan menjadi kenyataan,” kata seorang netizen.
Semoga Xiaoying dapat menemui ibu bapa kandungnya dan bersatu sebagai keluarga yang bahagia pada hari perkahwinannya nanti.
Sumber: South China Morning Post
No comments: