Muhasabah Dan Sudut Yang Perlu Diberi Perhatian
Dalam perkongsian yang lalu telah diterangkan tentang apa itu muhasabah dan manfaat yang diperoleh dengan mengamalkannya. Sekarang akan diterangkan pula tentang sudut-sudut yang perlu diberi perhatian dalam melakukan muhasabah.
#1- Muhasabah Diri Dalam Hal Wajib
Perkara pertama yang perlu diberi perhatian dalam proses muhasabah diri ialah dalam hal wajib. Periksalah sama ada malan kita punya kekurangan ataukah tidak. Sesungguhnya ibadah wajib merupakan keutamaan dalam Islam. Allah sangat menyukai orang yang cuba mendekatkan diri kepada Allah dengan menyempurnakan amalan wajib yang diperintahkan.#2- Menilai Diri Dalam Perkara Haram
Perkara kedua yang menjadi keutamaan ialah memeriksa diri adakah ada melakukan perkara-perkara yang diharamkan. Jika ada terlibat dengan riba dan maksiat contohnya, maka diusahakan untuk melepaskan diri darinya. Jika ada megambil hak orang lain, maka ianya dipulangkan. Jika pernah menyakiti orang lain, maka perlulah meminta maaf dan meleraikan sengketa.#3- Menilai Diri Dalam Perkara Yang Melalaikan
Antara banyak-banyak kesalahan, perkara yang melalaikan adalah yang paling banyak kita lakukan. Kerana biasanya perkara halal dan haram itu jelas, namun hal-hal yang melalaikan ini kadang tidak dapat kita pastikan secara jelas. Ia selalunya bersangkut paut dengan tujuan dan pengurusan masa.Contohnya menonton cerita dan bermain ‘video game’seperti yang kerap dilakukan oleh anak muda pada zaman milineal ini. Jika ia sudah mencapai tahap berlebih-lebihan sehingga mengabaikan tanggungjawab kita kepada perkara lain contohnya ibadah, urusan pengajian, atau kerja, maka sudah pasti ianya perlu dicegah.
#4- Muhasabah Diri Dan Anggota Badan
Allah menegaskan dalam firmanNya bahawa penglihatan, pendengaran dan mata hati kita akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak. Maka dari sekarang, kita perlu menilai ke mana kita gunakan setiap anggota badan yang dipinjamkan Tuhan ini- adakah dalam perkara maksiat atau perkara ketaatan.Allah berkata bahawa apabila Dia telah mencintai seorang hamba, maka Allah akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar, Allah akan menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Maksudnya, Allah akan memandu setiap perbuatannya. Semoga kita tergolong dalam salah seorang hamba yang Allah cinta.
#5- Muhasabah Diri Dalam Perkara Niat
Muhasabah diri dalam perkara niat bermakna kita menilai semula apakah tujuan hati kita semasa melakukan sesuatu perkara. Adakah kerana Allah sahaja atau kerana orang lain yang berada di sekeliling kita. Berkembangnya kemudahan media sosial meningkatkan lagi cabaran kita dalam memelihara niat sebenarnya.Kebanyakan orang cenderung untuk mendapatkan perhatian seperti ‘like’, komen dan respon daripada orang lain, kerana sedar bahawa satu status yang dimuat naik mampu dibaca oleh beribu orang dalam satu masa. Maka, saat inilah kita perlu muhasabah semula niat kita dalam melakukan perkara tersebut.
Saya akhiri perkongsian kali ini dengan satu firman Allah yang benar-benar mampu mengetuk hati dan fikiran kita dalam menilai semula amalan seharian yang dilakukan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan (Surah Al-Hasyr 59:18)
No comments: