Ads Top

6 Ciri Orang Yang Mempunyai Kekuatan Mental Dan Emosi

Orang yang mempunyai kekuatan mental dikatakan mampu untuk menguruskan emosi dengan baik, mengawal fikiran dan juga melalui hidup yang produktif. Enam ciri di bawah mampu memberikan penerangan yang lebih jelas tentang ciri-ciri yang ada pada orang yang mempunyai kekuatan mental dan emosi.

#1- Mereka Tahu Kemampuan Diri Mereka

Orang yang mempunyai kekuatan dalaman diri tahu apa yang boleh mereka lakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Mereka tidak berpura-pura menjadi orang lain dan melakukan sesuatu hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak dan keinginan orang lain.

#2- Tidak Membiarkan Sikap Orang Lain Mempengaruhi Emosi

Orang yang mempunyai kekuatan dalaman tidak membiarkan sikap orang lain kepada mereka mempengaruhi emosi dan prestasi. Mereka memahami bahawa setiap orang mempunyai masalah masing-masing, namun mereka juga sedar bahawa diri mereka juga perlu dihormati.

#3- Meletakkan Had Dan Sempadan Ketika Menguruskan Konflik

Orang yang mempunyai kekuatan emosi dan mental bijak menguruskan konflik. Jika mereka berhadapan dengan orang yang terlalu negatif, malah suka pula menyebarkan negativiti kepada orang lain, maka mereka tidak akan berkompromi.

Jika konflik tidak dapat diselesaikan sekalipun berbagai cara telah dilakukan, maka mereka tahu bahawa itulah hadnya. Mereka tidak akan membiarkan diri mereka dipijak sesuka hati.

#4- Tidak ‘play-victim’

Tidak play-victim dalam bahasa mudahnya tidak berpura-pura menjadi mangsa keadaan. Orang yang kuat mentalnya tahu bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas pilihan yang telah dilakukan. Mereka tidak memanipulasi dan menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi.

#5- Menumpukan Kepada Solusi Dan Bukan Masalah

Jika ada masalah yang berlaku, orang yang kuat mental dan emosi akan menumpukan kepada solusi dan bukan masalah. Mereka tidak suka melayan perasaan atau mengalihkan perhatian semata-mata untuk menutup masalah yang ada.

#6- Tahu Bahawa Mereka Boleh Meminta Bantuan

Orang yang mempunyai kekuatan mental bukan bermakna mereka tidak memerlukan bantuan. Mereka bijak untuk mencari sistem sokongan yang diperlukan seperti keluarga, rakan-rakan atau bantuan profesional bagi membantu mereka menguruskan konflik yang ada.

Untuk mempunyai mental yang kuat, latihan pengaturan diri (self-regulating) sangat diperlukan. Jika dilihat semula, keenam-enam ciri di atas adalah perbuatan yang telah terbentuk hasil daripada proses dalam minda. Mental yang kuat akan terzahir pada perilaku, cara bergaul, cara menguruskan masalah dan juga cara anda menguruskan cabaran dalam kehidupan.




No comments:

Powered by Blogger.