Izzue Islam & Dehaniff Muncul Dengan Lagu ‘Dulu Kini Raya’, Kembalikan Momen Beraya Ketika Meningkat Remaja
Kemeriahan Aidilfitri tahun ini kian terasa, lebih-lebih lagi apabila ramai penyanyi tempatan melancarkan lagu raya dengan genre dan gaya tersendiri.
Penyanyi Izzue Islam dan Dehaniff tidak terkecuali, mereka berdua muncul menerusi lagu raya duet berjudul Dulu Kini Raya.
Bagi Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, dia amat menyukai naskah itu kerana mengingatkan akan momen beraya ketika masih membesar dan meningkat remaja.
“Lagu ini ada rasa klasik raya yang kita semua rindu, pada masa sama ada juga sentuhan moden supaya generasi sekarang pun suka mendengarnya.
“Memang kedengaran elemen nostalgia macam kenangan kita beraya dulu-dulu cuma bunyinya lebih segar. Itu yang buat saya rasa lagu ini ada identiti tersendiri,” katanya.
Ditanya tentang persaingan dengan lagu-lagu raya artis lain yang mungkin digelar ‘perang lagu raya’ oleh sesetengah pihak, Izzue melihat hal itu dari sudut positif.
“Bagi saya, ia sebenarnya sihat untuk industri. Lagi banyak lagu raya keluar, lagi meriah suasana raya kita. Saya tak melihat ia sebagai ‘perang’, tetapi lebih kepada rakan-rakan artis sama-sama menambah warna untuk sambutan Aidilfitri.
“Setiap lagu ada peminatnya yang tersendiri. Saya harap, lagu Dulu Kini Raya boleh jadi salah satu lagu yang orang ramai boleh mainkan dalam kereta atau rumah ketika raya nanti, ” jelasnya.
Mengulas tentang kerjasama dengan Dehaniff selaku rakan duet, ternyata Izzue mempunyai sebab yang kukuh. Selebriti versatil ini juga akui gembira sepanjang menjalankan rakaman vokal dan video muzik lagu raya berkenaan.
“Dehaniff ada energy yang sesuai dengan lagu ini. Bekerjasama dengannya bagai ada satu keserasian yang datang dengan sendirinya. Jadi, apabila idea untuk buat lagu raya ini datang, saya memang rasa gabungan suara kami berdua boleh membuatkan lagu ini jadi lebih ‘hidup’.
“Untuk pembikinan video muzik pula, memang best dan ada beberapa perkara yang ‘gila-gila’ juga yang kami buat. Banyak momen kelakar dan chaos sepanjang proses penggambaran video muzik lagu ini.
“Dari lokasi set penggambaran, pakaian hinggalah ke babak-babak besar, itu semua memerlukan tenaga yang banyak. Paling seronok apabila semua kru dan team bagi komitmen yang sangat padu. Walaupun penat, pengalaman itu tak dapat dilupakan,” ujarnya.

Difahamkan, kos pembikinan video muzik Dulu Kini Raya menelan belanja yang agak tinggi dan ada kelainan di set penggambaran antaranya penggunaan lembu yang dibawa dari Melaka dan kren skylift sebagai props.
“Memang ada sedikit ‘gila’ dalam pembikinan video muzik ini, tapi bagi kami, kalau nak buat sesuatu, biar buat betul-betul. Kami mahu bagi penonton pengalaman visual yang lain daripada video muzik raya biasa.
“Apabila ada idea bawa lembu, guna kren skylift dan sebagainya, kami tetap mahu realisasikan walaupun mencabar dan kosnya agak besar. Ini bukan soal nak berlawan dengan video muzik lagu raya artis lain, kami cuma mahu buat orang ramai ingat, itu saja.
“Justeru saya berharap agar lagu Dulu Kini Raya boleh jadi lagu kegemaran ramai yang dimainkan setiap kali menjelang lebaran. Kalau lagu ini boleh buat orang senyum, teringat kenangan raya atau rasa lebih meriah semasa beraya, itu sudah cukup bermakna bagi saya, ” katanya lagi.
Sementara Dehaniff pula menyifatkan Izzue seorang yang mudah bekerjasama dan sangat komited ketika bekerja. Pada masa sama, dia juga berpendapat bahawa lagu raya tersebut boleh menarik pendengar berbeza lapisan umur.
“Lagu ini menggabungkan beberapa genre dan ia mudah untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Apabila dengar lagu ini, ia boleh buat kita rasa gembira.
“Ketika hendak merakam Dulu Kini Raya, saya tidaklah begitu gementar tetapi lebih kepada rasa teruja. Saya percaya, dengan kelainan yang kami tampilkan, Insya-Allah ia boleh menang di hati pendengar, ” katanya.
Menyentuh tentang pembikinan video muzik yang bukan biasa-biasa, Dehaniff berkata: “Ia adalah satu ‘senjata’ yang sihat dan orang ramai wajib tonton video muzik Dulu Kini Raya ini. Saya harap lagu Dulu Kini Raya menjadi kegemaran ramai orang di luar sana, bukan kegemaran untuk waktu ini saja, semoga ia disukai kini dan selamanya,
Dulu Kini Raya kini boleh didengari di pelbagai platform digital dan video muzik rasminya juga sudah dilancarkan di YouTube untuk tontonan orang ramai. – KopiPlanet.com
The post Izzue Islam & Dehaniff Muncul Dengan Lagu ‘Dulu Kini Raya’, Kembalikan Momen Beraya Ketika Meningkat Remaja appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: