Azharina Azhar Dapat Pengiktirafan 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026
Penyanyi dan figura inspirasi tanah air, Azharina Azhar, diraikan dalam majlis 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026 sebagai penghargaan terhadap kepimpinan, semangat juang tinggi, serta sumbangan beliau kepada wanita dan komuniti.
Majlis berprestij yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh tetamu kehormat, YM Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan BCM.
Menariknya, Azharina adalah satu-satunya anak seni yang menerima pengiktirafan, membuktikan bahawa peranan figura industri hiburan turut mampu memberi impak besar kepada masyarakat.
Dalam ucapannya, Azharina meluahkan rasa syukur dan memberikan motivasi kepada semua wanita.
“Saya amat bersyukur dan terharu menerima penghargaan ini. Kepada semua wanita di luar sana, jangan mudah mengalah.
“Teruskan berusaha dan kekal positif walau apa pun cabaran yang dihadapi. Percayalah, setiap langkah dan usaha kita ada makna dan potensi yang besar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, IKSnita, Azharina Entertainment, pereka fesyen Nik Hafiz dan Anaff Maspur, jurusolek Ashy Reef, serta peminat setia, Azharina Angels.
Tidak dilupakan, anak-anaknya, Rahmat dan Redha, yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi setiap hari.
Terdahulu, Azharina pernah terpilih sebagai ahli panel dalam persidangan pertama ASEAN Women’s Conference on Best Practices (AWCOBP) 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota
Kinabalu, sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai wanita berpengaruh di peringkat serantau.
Pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk Azharina terus memberi impak positif kepada masyarakat, terutama kepada generasi muda.
Menurut beliau, kejayaan bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga tanggungjawab untuk menjadi contoh dan penyebar aura positif kepada orang sekeliling.
“Saya harap dengan penghargaan ini, saya dapat menyuntik inspirasi dan keyakinan kepada wanita di luar sana agar terus melangkah, berani bermimpi dan tidak mudah putus asa,” tambah Azharina. – KopiPlanet.com
The post Azharina Azhar Dapat Pengiktirafan 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: