Ads Top

Jangan Pandang Belakang 2 Beri Cabaran Besar Buat Pierre Andre

Setelah menyepi buat seketika dalam industri hiburan, pengarah dan pelakon popular Pierre Andre kini membuat kemunculan semula dalam filem terbaharu arahannya iaitu Jangan Pandang Belakang 2 Aku Tahu Asal Usulmu

Pierre berkata, untuk naskhah berkenaan memang memberi cabaran tersendiri buatnya setelah sudah lama tidak muncul dengan sebuah cerita seram.

“Saya rasa jangkaan penonton terhadap filem Jangan Pandang Belakang 2 sangat tinggi. Malah, saya turut berasa sedikit tekanan memandangkan skrip asal tidak seperti yang saya bayangkan.

“Boleh dikatakan skrip ini saya telah ubah kira-kira 80 peratus daripada skrip asal. Apa pun asas ceritanya tidak saya usik, memandangkan saya tiada masa untuk mengubahnya sepenuhnya,” ujarnya.

Pierre berkata demikian ketika ditemui sewaktu sidang akhbar majlis tayangan perdana yang berlangsung baru-baru ini.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon-pelakon popular seperti Emma Maembong, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Iedil Dzuhrie Alaudin, Alif Hadi dan ramai lagi.

Dalam pada itu, David Teo selaku penerbit memaklumkan bahawa proses pembikinan filem berkenaan terpaksa mengambil masa yang lama kerana perlu mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum kembali aktif menghasilkan filem seperti dahulu.

Ujarnya, dia yakin untuk menerbitkan filem tersebut setelah meneliti semua elemen yang diperlukan, termasuk dengan mempertaruhkan Pierre yang diyakini olehnya mampu untuk membuat sentuhan magis.

Sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 November, Jangan Pandang Belakang 2 merupakan kesinambungan kepada kisah saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi.

Namun, pelbagai halangan dan kejadian menyeramkan berlaku sepanjang kisah ini, menambah elemen misteri yang menarik penonton. – KopiPlanet.com

The post Jangan Pandang Belakang 2 Beri Cabaran Besar Buat Pierre Andre appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.