AC Mizal Nafi Dakwaan Tak Bayar Gaji Bekas Pekerja, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Pengacara dan pemilik Suke TV, Datuk AC Mizal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan syarikatnya itu tidak membayar tiga bulan gaji kepada bekas pekerjanya.
Tampil dalam satu video untuk menepis dakwaan berkenaan, AC Mizal menyatakan ia adalah satu bentuk fitnah dan tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Kenyataan dan cerita yang tular tentang kegagalan Suke TV membayar gaji tiga bulan kepada individu-individu tersebut di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
“Saya telah mengarahkan peguam saya dan syarikat Suke TV untuk mengambil tindakan undang-undang serta merta terhadap individu terbabit berkenaan penularan fitnah ini,” tegasnya.
Menjelaskan mengenai tuduhan oleh sesorang yang dikatakan bekas pekerjanya, AC Mizal menjelaskan individu itu sebenarnya telah ditamatkan kontrak kerana gagal mengikuti syarat perkhidmatan ditetapkan.
Jelasnya lagi, pihaknya juga mempunyai segala bukti namun enggan mendedahkan kepada umum.
“Cuma saya mahu nyatakan kenyataan fitnah tersebut disebarkan oleh beberapa bekas pekerja yang antaranya telah ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat kerana didapati melanggar syarat-syarat perkhidmatan.
“Kami mempunyai semua bukti, tetapi kami tidak akan mencanangkan butiran ini kepada umum. Saya serahkan semuanya kepada undang-undang mahkamah dan keadilan negara kita,” ujarnya.
Pada masa sama, pengacara itu memaklumnkan dia sepatutnya tidak memberikan respons terhadap fitnah dilemparkan namun dia perlu menceritakan hal sebenar bagi mengelakkan salah faham.
Dia juga memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan berhenti menyebarkan fitnah berhubung isu berkenaan. – KopiPlanet.com
The post AC Mizal Nafi Dakwaan Tak Bayar Gaji Bekas Pekerja, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: