Ads Top

Gandingan Johan & Zizan Kembali, Baik Punya Ah Long Ubati Kerinduan Peminat Jozan

Dua tahun lalu raja duo komedi Malaysia, JOZAN iaitu gandingan Zizan Razak dan Johan telah menggegarkan pawagam seluruh tanah air menerusi filem pecah panggung, dan kini mereka kembali menggeletek penonton menerusi filem komedi terbaru, Baik Punya Ah-Long. Kali ini mereka tampil berbeza dengan watak ‘ah long’, di mana mereka menjalankan perniagaan pinjaman wang dengan konsep perniagaan yang luar dari kebiasaan. 

Baik Punya Ah Long merupakan terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas, dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 12 September ini. 

Persembahan JOZAN lebih memukau dengan gandingan mantap para pelakon handalan tanah air seperti, pemenang Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22, Dato’ Afdlin Shauki, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22, Liyana Jasmay serta Adlin Aman Ramlie, Mia Sara Shauki, Adibah Noor dan Chew Kinwah. 

Penampilan istimewa oleh Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Carmen Soo, Aziz M Osman, Shashic Iewan, Anas Ridzuan, Ileana Matin Shauki, Riezman Khuzaimi, Nizam Jentik-Jentik, Sid Mahmud, Sanjna Suri, Sazali Abd Samad, dan ramai lagi. 

Filem ini diarahkan Dato’ Afdlin Shauki dan beliau sinonim dengan karya-karya komedi seperti filem Baik Punya Cilok, Papadom, Buli dan Buli Balik. Seperti Baik Punya Cilok, Baik Punya Ah Long juga memaparkan sifat ‘brotherhood’ yang kuat dan JOZAN adalah pasangan yang paling tepat untuk mendefinisikan makna persaudaraan itu. 

Menurut Penerbit Eksekutif Baik Punya Ah Long merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kekuatan Baik Punya Ah Long adalah pada unsur komedinya dan diperhebatkan lagi dengan lakonan oleh duo komedian terbaik Malaysia, JOZAN. Kami percaya penampilan JOZAN sentiasa dinantikan oleh peminat dan penggemar naskhah tempatan. Melihat reaksi penonton menerusi treler dan klip-klip menarik dari filem, rata-rata menyatakan rasa teruja untuk menyaksikan kemunculan semula raja duo ini. Buktinya, ‘teaser’ comeback mereka mendapat lebih 9.8 juta tontonan di platform digital sejak dilancarkan bulan lalu. 

Tidak hanya menjual elemen komedi yang sangat mencuit hati, filem ini turut menyelitkan elemen kekeluargaan, persaudaraan dan aspek sosial masyarakat. Penonton pastinya tidak akan kering gusi tatkala menonton buah tangan terbaru Dato Afdlin Shauki. Melihat portfolio beliau, naskhah komedi adalah kekuatannya dalam pengarahan. Kami berharap Baik Punya Ah Long mampu mengubati rindu peminat. Mereka bukan sahaja boleh menikmati filem ini sebagai hiburan, tetapi diharapkan dapat meninggalkan impak dan membuatkan penonton mahu menyaksikannya berulang kali”. 

Menggunakan tagline ‘Semua Boleh Settle’, filem ini mempertaruhkan 18 buah lagu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon sendiri.

Baik Punya Ah-Long mengisahkan tentang dua adik beradik, Aloy dan Aley yang menjalankan perniagaan sendiri selepas dipaksa oleh bapa angkat mereka. Meskipun Aloy dan Aley tidak mempunyai pengalaman, mereka tetap menyahut cabaran dan memulakan perniagaan pinjaman wang. Perniagaan mereka itu bagaimanapun telah menggugat bisnes Lan Panda yang berhasrat untuk menghapuskan Aloy dan Aley. 

Saksikan filem ini di pawagam seluruh negara bermula 12 September 2024. Bagi yang ingin menemui barisan pelakon, boleh sertai sesi jelajah di Terengganu pada 13 September dan 14 September di Johor. 

Gunakan #BaikPunyaAhLong di media sosial bagi berkongsi pendapat dan keterujaan. Sila ikuti perkembangan terbaru serta klip menarik di platform media sosial Astro Shaw. – KopiPlanet.com

The post Gandingan Johan & Zizan Kembali, Baik Punya Ah Long Ubati Kerinduan Peminat Jozan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.