Ads Top

FFM33 Akan Berlangsung Pada 7 Disember 2024, Pertandingkan 30 Kategori Anugerah

Malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media dengan tema ‘Emas’ yang melambangkan evolusi dan kejayaan sinema Malaysia.

Tema ini juga mencerminkan hala tuju baharu FINAS dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk dieksport, menjadikan industri filem sebagai nadi ekonomi kreatif dan budaya negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata FFM33 bukan sahaja bertujuan untuk menghargai karya seni dan kreativiti dalam industri perfileman negara, tetapi juga untuk mengukuhkan peranan industri filem dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“FFM bukan sekadar manifestasi festival semata-mata tetapi seharusnya diangkat sebagai satu acara berprestij yang setanding dengan festival filem di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang kita lihat di negara lain, festival filem bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan sinema tetapi juga sebagai medan utama dalam mempromosikan industri perfileman dan menarik pelaburan yang lebih besar ke dalam sektor kreatif negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran berlangsung baru-baru yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dan ahli-ahli perbadanan FINAS.

Jelas beliau, berdasarkan data yang diperoleh melalui Unit Galakan Industri dan penyertaan Skim Wajib Tayang, lebih 100 buah filem dijangka akan bertanding di FFM kali ini dan ia bukti nyata kepada perkembangan pesat industri perfileman negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan FFM33 akan mempertandingkan 30 kategori anugerah dan turut mengembalikan semula kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik.

Jelasnya, pembukaan penyertaan untuk Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) bermula hari ini hingga 6 September 2024, manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik serta penyiar rasmi malam anugerah ini.

FINAS turut mengalu-alukan kerjasama dan peluang penajaan daripada pelabur, penaja, syarikat produksi, syarikat korporat, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) serta lain-lain untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meraikan dan menghargai semua penaja korporat sebagai rakan strategik dalam penganjuran FFM kali ini.

“Sokongan anda semua adalah bukti keyakinan terhadap potensi industri perfileman negara dalam memastikan kejayaan FFM sebagai acara yang bukan sahaja berprestij tetapi juga berpengaruh di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi FFM33, https://ffm.finas.my atau hubungi Noorzillawati Yahya (penyertaan) melalui penyertaanffm33@finas.my atau 03-41041354 dan YM Ts. Raja Mohammad `Adhzim Raja Ahmad (penajaan) melalui penajaanffm@finas.my atau 03-41010471. – KopiPlanet.com

The post FFM33 Akan Berlangsung Pada 7 Disember 2024, Pertandingkan 30 Kategori Anugerah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.