Ads Top

Ernie Zakri Cipta Kejayaan Tersendiri, Lagu Masing-Masing Dapat Anugerah Platinum

Industri muzik tempatan terus menyaksikan kejayaan luar biasa apabila lagu popular Masing Masing nyanyian penyanyi terkenal Ernie Zakri dianugerahkan 1X Platinum Award atau Anugerah Platinum.

Anugerah ini mengiktiraf kejayaan besar lagu hasil ciptaan Ade Govinda itu dalam meraih jualan dan penstriman yang tinggi, serta sambutan hangat daripada peminat muzik dalam dan luar negara.

Anugerah ini juga diberikan kepada Ernie Zakri sebagai pengiktirafan Pencapaian Jualan Digital Seluruh Dunia.

Sejak dilancarkan, lagu Masing Masing menjadi antara lagu paling popular dalam carta muzik tempatan. Tambahan lagi, lagu Masing Masing juga kini berada 17 weeks nombor 1 di Carta RIM.  Menerusi lirik yang mendalam dan melodi yang penuh emosi, lagu ini menyampaikan mesej mengenai kejujuran dalam hubungan dan penerimaan diri, sekali gus diterima baik oleh pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ernie Zakri, seorang penyanyi yang terkenal dengan vokalnya yang mantap, berjaya membawakan lagu ini dengan penuh penghayatan. Kombinasi antara lirik yang menyentuh hati dan kehebatan vokal Ernie menjadikan lagu Masing Masing sebuah karya yang diingati.

Penganugerahan ini adalah satu pencapaian penting dalam kerjaya Ernie Zakri, menunjukkan penerimaan yang luar biasa daripada peminat muzik. Apatah lagi, lagu Masing Masing sudah mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi di pelbagai platform digital.

“Alhamdulillah, sudah semestinya saya sangat gembira sebab lagu ini mencipta kejayaan yang sangat besar dalam karier saya. Lagu ini juga mendapat sambutan yang sangat besar sekali di Malaysia. Ia memberikan satu impak yang sangat positif dan juga memberikan satu memori yang banyak dengan lagu Masing Masing.

“Lagu ini tidak hanya telah berjaya menjana perhatian yang meluas daripada peminat muzik, tetapi juga berjaya menarik minat ramai melalui platform digital. Prestasi lagu ini mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi membuktikan kualiti serta daya tarikan yang dimiliki oleh karya ini.

“Bagi saya, lagu Masing Masing juga menonjolkan dimensi emosi yang mendalam, yang berjaya mengetuk jiwa dan perasaan peminat muzik,” katanya.

Kesungguhan Ernie dalam membawa muziknya ke peringkat global semakin terbukti melalui pencapaian luar biasanya ini, yang mencerminkan komitmen serta dedikasi tinggi beliau terhadap industri muzik negara. 

Dengan adanya pengiktirafan yang diberikan, Ernie semakin termotivasi untuk terus mencipta karya-karya unik serta menggerakkan industri muzik tanah air ke mercu kegemilangan yang lebih tinggi. Ernie juga merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat yang sudah memberi sokongan padu kepada lagu ini. 

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dan menjadikan lagu Masing Masing sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Anugerah Platinum ini adalah bukti kekuatan sokongan peminat, dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada anda semua.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua peminat dan pendengar yang sentiasa menyokong lagu Masing Masing dan disebabkan lagu ini juga album Aura mendapat sambutan yang sangat baik, Alhamdulillah.

“Teristimewa juga buat Ernienators, terima kasih kerana selalu menyokong, mendoakan dan sentiasa ada dengan saya. Saya juga berharap selepas ini, semoga lagu-lagu yang lain juga mendapat sambutan yang baik juga, insyaAllah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ernie berkata, dia sedang merancang untuk mengadakan konsert solo.

“InsyaAllah, saya akan mengadakan konsert solo. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Kalau boleh memang nak umumkan secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, lagu Masing Masing turut tercalon dalam Top 20 bagi kategori Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 36).

The post Ernie Zakri Cipta Kejayaan Tersendiri, Lagu Masing-Masing Dapat Anugerah Platinum appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.