Ads Top

Andak Bertandak Angkat Kisah Tentang Kepercayaan Tahyul, Sarat Dengan Mesej Kemasyarakatan

Mask Team bakal mementaskan Teater “Andak Bertandak” pada 29, 30, 31 Ogos dan 1 September 2024 bertempat di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac). 

Pementasan teater Andak Bertandak ini adalah merupakan pementasan buat julung-julung kalinya dan tidak pernah dipentaskan sebelum ini. Diarahkan oleh Azhar Zainal, dan skrip oleh Fasyali Fadzly yang merupakan Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Apa yang menariknya, teater ini membariskan pelakon seperti Azhan Rani, Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin. Teater Andak Bertandak ini semestinya menjanjikan sesuatu kelainan selain menggabungkan pelakon baharu dan lama.

Lebih istimewanya lagi, pementasan teater Andak Bertandak ini adalah merupakan jalinan kerjasama Mask Team bersama pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), serta mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Kerjasama yang dijalankan ini adalah dari segi perkongsian idea kreatif dan kritis serta penyediaan ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar ASWARA khususnya daripada Fakulti Teater untuk merasai pengalaman yang sebenar dalam sesebuah produksi teater.

Teater Andak Bertandak ini mengisahkan kehidupan keluarga Andak serta masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab yang munasabah.

Teater yang mempamerkan nilai komersial yang tinggi serta sarat dengan mesej kemasyarakatan dan kekeluargaan ini akan disampaikan dalam gaya penceritaan yang ringan dan dekat dengan penonton. Biarpun bergenre farce comedy, teater Andak Bertandak diharapkan mampu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penonton yang hadir.

Penerbit teater Andak Bertandak, Juan Ab Aziz berkata, pementasan teater Andak Bertandak ini adalah lebih daripada sebuah pementasan teater, ianya merupakan satu nafas serta peluang yang baharu dalam industri teater khususnya dan industri kesenian secara amnya untuk lebih aktif dan mendapat perhatian serta pengiktirafan daripada masyarakat di luar sana.

Kerjasama serta sokongan daripada ASWARA dan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga amat memberikan impak yang besar untuk kelancaran pementasan teater ini.

Penggemar dan penonton teater boleh mendapatkan tiket secara atas talian di www.cloudjoi.com dengan harga tiket bermula daripada RM65, RM95, RM125 dan RM155. – KopiPlanet.com

The post Andak Bertandak Angkat Kisah Tentang Kepercayaan Tahyul, Sarat Dengan Mesej Kemasyarakatan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.