Pekin Ibrahim Belasah Kru Produksi Intai Pelakon Wanita Di Lokasi Penggambaran
Pelakon popular, Pekin Ibrahim mengimbas semula insiden dia membelasah seorang kru produksi yang mengintai pelakon wanita baharu, Sara Daewoo ketika penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah kira-kira empat tahun lalu.
Pekin berkata, dia menyedari perkara terbabit selepas dimaklumkan oleh Sara yang berada di inap desa ketika kejadian itu berlaku.
“Insiden itu berlaku sewaktu kami menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak. Kru dan pelakon pula ditempatkan di dua inap desa berbeza.
“Semasa itu saya dan bersama kawan dalam perjalanan ke tempat penggambaran, manakala Sara berada di inap desa wanita.
“Kemudian, Sara mengadu kepada kawan saya yang ada seorang kru mengintai dan merakam dirinya menggunakan telefon bimbit, lantas kami patah balik ke sana,” jelasnya.
Menurut Pekin lagi, apa yang membuatkan dirinya geram apabila ketika sampai di inap desa, kru berkenaan mengajak dia solat berjemaah dan membentangkan sejadah.
Kemudian, pelakon itu menyatakan dia meminta untuk memeriksa telefon bimbit kru itu, tetapi
pelbagai alasan yang diberikan.
“Ketika saya meminta untuk memeriksa telefon bimbit miliknya, kru itu memberikan alasan dan cuba memadam bukti.
“Saya yang tidak dapat menahan sabar membelasah kru terbabit dan menghubungi pengarah, Haizul Anafer Ali.
“Seterusnya, krew itu dibawa ke balai polis. Sara membuat laporan selanjutnya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan. Dia ditahan polis untuk siasatan,” katanya.
Menurut pelakon itu lagi, insiden berkenaan adalah kali pertama yang pernah dilaluinya sepanjang bergelar pelakon.
“Biarpun filem Cerana Biduk Bu Merah merupakan filem seram, saya rasa kes ini lebih seram berbanding cerita yang kami lakonkan.
“Memang saya tak sangka akan berhadapan dengan perkara terbabit, sepanjang terlibat dalam bidang lakonan sejak tahun 2002.
“Saya kesal kerana kru itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sudahlah dia melakukan perkara tidak bermoral, dia sempat ‘menunggang agama’ dan berpura-pura mengajak solat,” katanya.
Filem terbitan Goldhill Pictures yang menjalani penggambaran pada 2018 itu akhirnya bakal menemui penonton pada 12 Oktober ini.
Selain Pekin dan Sara, filem ini dibintangi oleh Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan ramai lagi. – KopiPlanet.com
The post Pekin Ibrahim Belasah Kru Produksi Intai Pelakon Wanita Di Lokasi Penggambaran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: