Fasha Sandha Tidak Berkira Soal Bayaran, Terima Tawaran Bukan Bersandarkan Tarikan Wang Semata-Mata
Pelakon popular, Fasha Sandha menyatakan dirinya tidak berkira soal bayaran apabila mendapat tawaran yang kena dengan jiwanya, meskipun disenaraikan sebagai pelakon gred A.
Fasha berkata, sebagai seorang anak seni, dia perlu membuat pertimbangan wajar apabila memilih sesebuah naskhah, bukan bersandarkan pada tarikan wang semata-mata.
“Selalunya untuk sesuatu tawaran filem itu pastinya penerbit mempunyai bajet tertentu, tetapi kita kena tengok situasi dan adakalanya tidak boleh ikut kadar bayaran semasa kita.
“Misalnya dalam filem Cerana Biduk Bu Merah ni, saya buat kerana cinta pada lakonan selain dapat timba ilmu serta memahami bajet mereka yang terhad. Apa pun bayaran itu subjektif, jadi setiap pelakon kena jaga kadar masing-masing, jangan sampai dipermainkan,” jelasnya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.
Ketika ditanya sama ada ada pihak yang cuba mengambil kesempatan apabila dia tidak berkira soal bayaran, Fasha menyatakan setakat ini tidak pernah berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Alhamdulillah, memang tak ada yang ambil kesempatan, malah rezeki saya makin mencurah-curah dengan pelbagai tawaran yang diterima sekarang ni.
“Apabila soal bayaran konsep saya mudah. Mungkin hari ni hari dia untuk kita bantu… esok lusa pula mungkin dia akan bantu kita pula. Ini semua berbalik kepada rezeki,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fasha menyatakan kesanggupannya memenuhi tawaran penerbit dan pengarah Haizul Anafer Ali untuk membintangi filem berkenaan adalah bersandarkan kredibilitinya sebagai seorang yang berpengalam sekali gus membuatkannya mahu membantu.
Cerana Biduk Bu Merak filem genre seram yang diterbitkan Goldhill Pictures Sdn Bhd seorang wanita tua yang dipinggirkan orang kampung sendirian di sebuah rumah pusaka. Bu Merah menyelamatkan seorang gadis bernama Sofia yang hampir dirogol.
Walaupun sudah berusia, kulit Bu Merah tidak berkedut malah sentiasa cantik kerana menjadi hamba kepada penjaga Cerana Biduk yang berpuaka.
Filem itu bakal ditayangkan di 70 pawagam tempatan bermula 12 Oktober ini. – KopiPlanet.com
The post Fasha Sandha Tidak Berkira Soal Bayaran, Terima Tawaran Bukan Bersandarkan Tarikan Wang Semata-Mata appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: