Kutipan Rendah Di Pawagam Bukan Pengukur Kegagalan Sesebuah Filem
Kebelakangan ini heboh mengenai kutipan sebuah filem tempatan yang dikatakan memperoleh kutipan yang teruk dan mendapat respon suram dari penonton pawagam.
Prestasi filem ini pula dikaitkan dengan kegagalan agensi yang berperanan iaitu FINAS yang secara langsung terlibat menyumbang sebahagian dari kos produksi filem ini yang berjumlah RM 550 ribu dari jumlah keseluruhan pembikinan sebanyak RM 1.09 juta.
Sebagai salah seorang pemamer filem, saya tidak ingin mempertikai keupayaan filem ini apatah lagi filem ini di sutradara kan oleh seorang lagenda filem tempatan.
Realiti yang harus difahami ialah pasaran filem ialah suatu yang sangat subjektif dan kefahaman budaya penontonan yang berubah mengikut masa harus perlu dijuarai sebelum mengetuk pintu pasaran.
Dalam sentuhan penulisan yang terdahulu, saya banyak menyentuh mengenai ilmu pengedaran dan pemameran. Elemen penting dalam kategori ini adalah pemasaran.
Pembikinan sebuah filem harus di peringkat awal mencantumkan kesemua ekosistem perfileman yang melibatkan Penerbitan, Pengedaran dan Pemameran. Ini lah aspek yang kerap dilepas pandang.
Maknanya, sebelum pembikinan sesebuah filem, syarikat produksi harus memahami sasaran jualan, kaedah pemasaran dan tarikh tayangan yang disasarkan.
Apabila sasaran tayangan itu melibatkan pawagam komersil, kefahaman penontonan ini juga harus mengambil-kira persaingan filem-filem luar yang bakal mencartai pawagam pada tarikh tayangan.
Kegagalan filem di pawagam tidak bermakna filem tersebut gagal. Namun pengajarannya tentang perkara yang perlu dihalusi antaranya adakah filem itu untuk tema pawagam berdasarkan sasaran penontonnya? Dan apakah tarikh tayangan memberikan kelebihan kepada filem ini dalam senarai saingan minggu tayangan?
Bagaimana tentang pemilihan pawagam dan yang paling penting apakah kaedah pemasaran yang dijalankan mencapai sasaran penonton yang disasarkan? Ini antara yang perlu dikupas di mana formula utamanya ialah mengenal-pasti sasaran penontonan.
Sebab itu sebenarnya jika sebuah filem meletakkan hasrat untuk memasuki pasaran pawagam, langkah pertama yang perlu dilakukan sebelum produksi dimulakan ialah memahami pola permintaan pasaran dan kumpulan sasaran akhir.
Seterusnya perancangan dan kaedah melalui program pemasaran dirangka awal dan apabila semua ini dikuasai, produksi boleh dimulakan. Falsafahnya mudah, sejurus bermulanya produksi maka pemasarannya juga harus bermula mengikut peringkat.
Fahami ilmu pengedaran dan pemameran bagi membantu laluan sebuah filem itu ke destinasi yang betul.
Untuk mencapai sasaran penonton, ianya memiliki kaedah dan konsep pemasaran yang berbeza. Pola penonton mengikut garis umur akan membezakan kaedah pemasaran yang diperlukan.
Begitu juga dengan sektor pemameran, pawagam hanya salah satu daripada pengukurnya tapi bukan jawapan kepada makna sebenarnya kewujudan filem tersebut.
Jika sasaran filem itu bukan dari komuniti pawagam maka pilih platform pemameran lain selain pawagam, yang penting ianya sampai ke kelompok sasaran yang tepat.
Hakikatnya, tidak ada istilah sebuah filem itu gagal. Yang perlu difahami, filem itu adalah dicipta untuk apa, kepada sesiapa dan apa matlamatnya. – KopiPlanet.com
The post Kutipan Rendah Di Pawagam Bukan Pengukur Kegagalan Sesebuah Filem appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: