Ernie Zakri Artis Terbaharu Malaysia Wajah Dipilih Menghiasi Papan Iklan Digital New York Times Square
Baru sahaja selesai dengan konsert, penyanyi bersuara luar-biasa Ernie Zakri terus membanggakan negara selepas wajahnya dipilih menghiasi papan iklan digital tersohor di New York Times Square.
“Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi solo. Saya tak pernah terbayang yang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia,” ujar Ernie tentang berita tersebut.
Ernie turut berkongsi bahawa tahun ini telah membuahkan banyak kenangan manis buatnya secara peribadi. Malah, Ernie mempunyai banyak perancangan untuk tahun 2023.
“Saya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan juga mungkin sebuah album pada hujung tahun ini. Banyak yang sudah saya rancangkan jadi tolong doakan semuanya dimudahkan,” sambungnya lagi.
Penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify.
Selain itu secara kebetulan, Siti Nurhaliza yang baru sahaja membuat persembahan bersama Ernie juga pernah diberi penghormatan tersebut.
Equal merupakan program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.
Sejajar dengan tema tersebut, Ernie sempat mengulas mengenai topik berkenaan.
“Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu saya membawa pesan pemerkasaan wanita. Dan inilah yang ingin saya laungkan.
Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari. Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya, tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya. Akhirnya, penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta,” jelasnya panjang lebar.
Terkenal dengan kemantapan vokal yang hebat, Ernie gembira melihat segala penat lelahnya kini membuahkan hasil. Kejayaan terbaharu ini adalah salah satu daripadanya.
Terdapat 35 senarai playlist tempatan EQUAL yang merangkumi artis dari lebih 50 buah negara, dan Ernie merupakan wakil daripada senarai playlist EQUAL Malaysia & Singapura. Selain itu, terdapat juga Senarai playlist EQUAL Global “terbaik” yang mengandungi muzik dari artis EQUAL dari seluruh dunia.
Ernie Zakri menyambung legasi papan iklan New York Times Square ini selepas beberapa nama besar sebelumnya seperti Yuna, DOLLA dan beberapa lagi.
The post Ernie Zakri Artis Terbaharu Malaysia Wajah Dipilih Menghiasi Papan Iklan Digital New York Times Square appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: