Ads Top

Meerqeen & Adik Bongsunya Dilamar Jadi Model Jenama Elrah Exclusive Sempena Kempen Lebaran


Menjadi antara bintang paling bersinar ketika ini sebenarnya turut membawa tuah kepada adiknya yang turut menjadi perhatian banyak pihak.  

Bagi Meerqeen, 22 tahun, dia bersyukur kerana tempias tersebut turut ‘dinikmati’ oleh adik bongsunya, Mohd. Shaqeel Shauqeen yang baru berusia 1 tahun 7 bulan apabila dilamar jenama Elrah Exclusive untuk kempen lebaran kali ini.

“Sebenarnya sudah ada banyak jenama yang meminta dia dijadikan model atau melibatkan kempen sebelum ini. Cuma kami sekeluarga merasakan belum masa yang sesuai untuk dia terlibat di dalam bidang seni kerana usianya yang masih ‘mentah’.

“Tapi apabila saya dilamar sebagai sebahagian daripada wajah jenama berkenaan kali ini, Shaqeel turut diberikan peranan yang sama dan pastinya peluang berkenaan tidak dilepaskan untuk berkerja bersamanya,” kata Meerqeen.

Jelasnya lagi, pihak keluarganya memberanikan diri membenarkan Shaqeel terlibat sama disebabkan mereka hanya perlu melalukan sesi fotografi bersama, tanpa melibatkan banyak ‘pekerjaan’ lain.

Sebelum ini, beberapa jenama lain ada memberikan tawaran tetapi mereka perlu terlibat dalam penggambaran video yang melibatkan banyak babak dan itu sedikit sebanyak menyukarkan semua pihak dek kerana usianya yang terlalu muda.

“Ini adalah pekerjaan pertama Shaqeel dan saya gembira kami dapat bergandingan bersama-sama. Memang dia banyak ragam dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi semuanya berjalan lancar.

“Bila melihatkan hasil kerja, semua rasa penat hilang. Kalau ada lagi tawaran seperti ini datang pada masa hadapan, insya-Allah saya akan pertimbangkan memandangkan peluang sebegini tak selalunya datang,” jelasnya lagi.

Meskipun pengambaran baju Melayu berkenaan mengambil masa 8 jam untuk disiapkan, Meerqeen mengakui mereka perlu melayan keletah Shaqeel untuk mendapatkan gambar yang menarik. 

Jelasnya, itu merupakan cabaran utama memandangkan mood kanak-kanak yang cepat berubah dan perlu ditangani segera oleh kedua ibu bapa mereka yang turut hadir sama ke sesi fotografi berkenaan.

Selain Meerqeen tahun ini jenama Elrah Exclusive turut memaparkan beberapa wajah lain termasuklah Khai Bahar, Ben Amir serta pelakon drama Project: High Council, Amir Ahnaff, Hazeeq Deen dan Fadhli Masoot.

Turut serta, dua bintang TikTok popular yang sedang meningkat naik, Aabias dan Wan Chai.

Sejak seminggu yang lalu, wajah mereka sudah terpampang di papan iklan LED gergasi TS Law bersebelahan menara TRX yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

“Alhamdulilah, ramai yang mula perasan dan papan iklan tersebut tular di media sosial. Saya bersyukur kerana maklum balas yang diberikan peminat amat positif.

“Semoga kedatangan lebaran kali ini akan memberikan kegembiraan kepada semua. Untuk peminat saya pula, jangan lupa menonton Melur Untuk Firdaus 2 yang sudah mula ditayangkan. Terima kasih atas sokongan semua,” tambahnya lagi. – KopiPlanet.com

The post Meerqeen & Adik Bongsunya Dilamar Jadi Model Jenama Elrah Exclusive Sempena Kempen Lebaran appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.