Drama Liar Angkat Genre Thriller Teroka Tema Stereotaip Jantina, Kekeluargaan & Penipuan
Selepas kejayaan dan fenomena luar biasa drama premium High Council, Astro Originals mengukuhkan lagi jenamanya sebagai jenama terbaik dalam mempersembahkan konten berkualiti menerusi naskhah terbaru bertajuk LIAR, sebuah adaptasi antarabangsa daripada calon siri thriller terbaik di BAFTA Awards dan British Screenwriters’ Award.
Liar diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Double Vision dan All3Media Internasional. Siri asal Liar merupakan terbitan Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada tahun 2017.
Liar mengangkat genre thriller yang meneroka tema stereotaip jantina, kekeluargaan serta penipuan. Drama hebat ini telah berjaya meraih jumlah tontonan paling tinggi 7 juta, sekali gus mencatatkan jumlah terbesar bagi drama baru yang pernah ditonton di ITV sejak 2014.
Drama ini juga ditayangkan di Australia dan New Zealand. Menariknya, Liar turut mempunyai versi remake dari Sepanyol pada tahun 2020 menggunakan tajuk ‘Mentira’s, versi Jerman menggunakan tajuk ‘Du Sollst Nicht Lügen’, serta negara lain yang membuat remake adalah Perancis, Itali dan Turki.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara dan merangkap Penerbit Eksekutif Liar, Raja Jastina Raja Arshad berkata, rentetan kejayaan drama-drama Astro Originals, pihaknya berusaha meningkatkan kualiti sekali gus dapat menampilkan kandungan yang mampu mencipta penanda aras baru dan memberi impak kepada industri seni negara.
“Terbaru adalah Liar yang diadaptasi daripada calon siri terbaik luar negara dan kami rasa amat teruja untuk mempersembahkannya dalam versi dan format Malaysia. Ini merupakan kali pertama Astro Originals mempersembahkan naskhah adaptasi dan kami memilih naskhah Liar kerana daya tarikannya seperti jalan cerita, konsep dan tema yang diangkat; serta percaya ia mempunyai potensi untuk hangat diperkatakan ramai.
“Sementara itu, bekerjasama dengan produksi Double Vision dan All3Media International membuka lagi ruang untuk Astro mempamerkan keupayaan sebagai platform yang menghasilkan karya yang mampu mendominasi arena antarabangsa. Kami harap naskhah Liar versi Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dan dapat menawan hati penonton seperti mana versi-versi di negara lain,” ujarnya.
Sinonim dengan jalan cerita yang penuh plot twist dan watak-watak yang menonjol sehingga berjaya mencetus keterujaan penonton pada setiap episod, Liar mengisahkan tentang dua insan yang bertemu dalam sebuah temu janji, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada hari keesokannya. Seorang telah memperdaya, manakala seorang lagi diperdaya. Kerana kuasa, penipuan mampu memadamkan kebenaran.
Liar membariskan pelakon-pelakon hebat negara seperti Tiz Zaqyah, Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Dato’ Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiya Nisaa, Atilia Haron, Nazrief Nazri, Haridhass Selvaraju, Naz Rahman, Nas-T, Aniq Suhair, Farah Ahmad, Joyce Harn dan Charles Roberts. Manakala, pengarah Jason Chong, Imri Nasution dan Lim Siu Min.
Sementara itu, wakil Double Vision merangkap Penerbit Eksekutif dan Pengarah Liar, Lim Siu Min menjelaskan, drama berkenaan adalah projek yang amat dekat di hatinya kerana ia mengangkat subjek yang sering berlaku di dalam negara, namun jarang diketengahkan di kaca televisyen Malaysia.
“Saya percaya topik ini perlu diketengahkan. Meskipun subjek ini dilihat sensitif namun ia dapat dipersembahkan dalam nilai hiburan dengan membawakan mesej pengajaran. Semua ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama Astro yang berani mengetengahkan topik ini.
“Saya harap penonton dapat melihat hasil usaha kami selaku penerbit, barisan pelakon, tenaga kru dalam mempersembahkan naskhah yang bukan sekadar menghiburkan tetapi penuh pengajaran.”
Drama berdurasi 1 jam ini akan ditayangkan bermula 25 Mac 2023, setiap Sabtu, bermula jam 12 tengah malam di platform On Demand atau Astro Go. Manakala bermula 3 April 2023, setiap Isnin, jam 9.00mlm di Astro Ria. – KopiPlanet.com
The post Drama Liar Angkat Genre Thriller Teroka Tema Stereotaip Jantina, Kekeluargaan & Penipuan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: