Ads Top

Jualan Turun 60 Peratus, Pengasas Produk Skin Dessert Mula Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap SIRIM

Gara-gara kontroversi terhadap sekeping gambar yang dimuat naik di hadapan pejabat SIRIM baru-baru ini sehingga menimbulkan kontroversi, pengasas produk Skin Dessert, Zirra Abdullah mengakui jualan produknya menurun sehingga 60 peratus.

Zirra berkata, selain jualan yang turun mendadak, ia juga memberi impak pada emosi dan mental yang telah dialaminya.

“Dalam tempoh dua bulan ini, daripada jualan boleh cecah jutaan ringgit, kini kami cuba mampu catat jualan puluhan ribu ringgit sahaja.

“Selain itu, saya juga mendapat kecaman netizen serta mesej ugutan sehingga ada yang mahu mengancam keselamatan kami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar khas yang berlangsung semalam.

Sebelum ini Azira telah memuat sekeping gambar dia bersama suami, Mohd Aliff Abd Kadir di hadapan pejabat SIRIM dengan kenyataan gambar mengatakan salah satu produknya Skin Desert Repairing Moisturiser sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM pada 4 Oktober lalu.

Bagaimanapun, SIRIM menerusi akaun rasmi media sosial mereka menulis komen dengan memaklumkan SIRIM Berhad tidak pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert.

Sehubungan itu, pihaknya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap SIRIM setelah komen berkenaan memberi impak negatif kepada perniagaan mereka.

Peguam mereka, Nur Nazuha Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers berkata, kenyataan yang dibuat SIRIM menimbulkan keraguan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang terjadi kepada umum. 

“Tindakan itu berpotensi menimbulkan fitnah yang merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, agen serta pengguna terhadap Skin Dessert.

“Kenyataan agensi itu menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi Skin Dessert ada agenda tersembunyi dan jenama Skin Dessert tidak boleh dipercayai,” jelasnya.

Ujarnya, komen SIRIM itu jelas bertentangan memandangkan Skin Dessert sudah membuat permohonan pengujian produk dan menghantar sampel produk kepada SIRIM pada 8 September 2022.

Jelasnya lagi, ketika ini pihaknya masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan memandangkan pihak peguam yang mewakili SIRIM masih dalam proses menunggu arahan lanjut dan jawapan SIRIM berhubung tuntutan Skin Dessert seperti dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Disember 2022.

“Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang dibuat SIRIM di media sosial Puan Zirra adalah kenyataan berniat yang tidak menggambarkan situasi sebenar kepada umum,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Jualan Turun 60 Peratus, Pengasas Produk Skin Dessert Mula Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap SIRIM appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.