Ads Top

Duan Nago Bogho Filem Aksi Angkat Seni Budaya Tradisional Mak Yong

Tidak dinafikan filem-filem yang bercorak aksi sememangnya antara yang genre yang cukup digemari penonton di Malaysia.

Melihat kepada potensi filem sebegini membuatkan syarikat produksi Kalamarif Holdings Sdn. Bhd. muncul dengan sebuah naskhah istimewa berjudul Duan Nago Bogho.

Menariknya, filem ini mengetengahkan seorang pengarah dan pelakon hebat iaitu Sabri Yunus yang cukup dikenali dengan naskhah Pok Ya Cong Codei.

Penerbitnya, Kolonel Bersekutu (PA) Arisz Ab Rahman berkata, pihaknya berminat untuk menerbitkan filem Duan Nago Bogho ini kerana tertarik dengan skrip dan jalan cerita yang turut dihasilkan Sabri.

“Saya melihat filem ini berbeza dengan filem-filem aksi sedia ada. Duan Nago Bogho benar-benar filem berwajah kita yang menggabungkan aksi dengan elemen seni budaya Malaysia iaitu Mak Yong dengan nilai komersial.

“Mengenai pemilihan tajuk pula, ia adalah gambaran sifat watak utama iaitu Duan seperti ular ‘Nago Bogho’ atau lebih dikenali sebagai ular tedung selar,” ujarnya.

Beliau berkata, filem sulung terbitan syarikatnya itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2 juta dan menggunakan dialek bahasa Kelantan sebanyak 80 peratus.

Mula menjalani penggambaran selama 30 hari pada April 2021 di lokasi seperti Kuala Lumpur (90 peratus) dan Kelantan (10 peratus).

Menampilkan pelakon Asrul Faizal selaku teraju utama membawakan watak Duan, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh, Sangeeta 

Krishnasamy, Husairi Husain, Angeline Tan, Issey Fadzlisham, Jason Chong dan ramai lagi.

Mengenai harapannya terhadap filem berkenaan, beliau berharap agak filem Duan Nago Bogho ini dapat diterima oleh semua golongan penonton.

“Sebagai penerbit pastinya saya ingin mendapat kutipan yang memberangsangkan dan diterima oleh seluruh penonton tanpa mengira negeri dan latar belakang. 

“Walaupun latarnya mengenai kehidupan watak utama sebagai orang Kelantan dan kebanyakannya berdialek Kelantan, namun isu, mesej dan jalan cerita Duan Nago Bogho berlaku di mana-mana sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Sabri pula menjelaskan dia berminat menulis skrip serta pengarah filem berkenaan setelah melalui sendiri pengalaman yang menarik perhatiannya dalam bidang kesenian khususnya seni tradisional Kelantan.

Jelasnya, ada tiga faktor utama untuk menghasilkan Duan Nago Bogho iaitu mengenai cinta pada seni yang tinggi, pertembungan ideologi pada nilai kesenian dan melihat kepada nilai setiakawan serta pembelotan dalam hubungan persahabatan.

“Ketiga-tiga faktor ini saya rangkumkan menjadi sebuah naskhah dan menjadi tunjang kepada penceritaan yang ingin disampaikan.

“Ia bukanlah sebuah filem aksi semata-mata dan lebih kepada perjuangan dalam pertahankan maruah seni Mak Yong.  

“Watak Duan juga seorang yang melalui dunia pergaduhan demi maruah diri, namun dia bukan jahat atau samseng, tetapi orang yang sangat menjaga maruah dan harga diri, maruah dan harga seninya,” ujarnya.

SINOPSIS

Duan Nago Bogho mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Kelantan Mak Yong iaitu Duan yang juga pemain peran Mak Yong yang mempunyai dua personaliti. Dia yang mencintai seni tradisional juga dalam masa yang sama sangat suka bergaduh. 

Kisahnya bermula selepas Duan bergaduh dengan penonton Mak Yong yang mengganggu sewaktu dia sedang membuat persembahan sehinggalah ayahnya meminta dia untuk meninggalkan kampung dan mencari kerja lain.

Rakannya iaitu Awi yang tinggal di Kuala Lumpur mengajak Duan ke ibu kota. Awi memberitahu Kuala Lumpur memberikan peluang yang lebih luas dalam bidang seni, termasuklah Mak Yong. Awi adalah pekerja seni yang cuba membawa seni Kelantan ke arah yang lebih luas dan maju.

Selain itu, tugas Duan adalah untuk membantu Nancy, anak kepada Jimmy Ang iaitu seorang lelaki cina keturunan Kelantan sehingga membawa konflik dalam hidup Duan. 

Filem Duan Nago Bogho akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Januari 2023.

BARISAN PELAKON

ASRUL FAIZAL                         – DUAN

JOJO GOH                               – NANCY

SAIDI SABRI                            – AWI

SABRI YUNUS                         – POK SU KI      

DATUK ROSYAM NOR            – FENDI BB

AYE HUSHAIRI                        – NULIK

ANGELINE TAN                       – NYONYA ANG

JASON CHONG                        – MR LOW

SANGEETA KRISHNASAMY    – SALMI

PROF DR. LIM SWEE TIN        – JIMMY ANG

ARJUNA SUKMA                     – SOMAD

POKKU REDANG                     – PERAN TUA

ISSEY FAZLISHAM                   – DIN JKKN (PERAN MUDA)

YANK KASSIM                         – ORANG KANAN FENDI BB (LAGA)

ZAMZURIAH ZAHARI              – PUAN HALIMAH

The post Duan Nago Bogho Filem Aksi Angkat Seni Budaya Tradisional Mak Yong appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.