Ads Top

Paras Rupa Cantik Harus Seiring Bakat Dalam Misi Jadi Pelakon Hebat Di Pentas Lakonan

Tidak dapat dinafikan, paras rupa yang cantik menjadi faktor utama dalam pemilihan pelakon di persada seni tanah air sejak dulu.

Namun, paras rupa yang cantik semata-mata tanpa disertai bakat tidak cukup untuk seseorang pelakon menempa nama dalam bidang seni.

Itulah topik hangat yang dibincangkan dalam forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Forum ini dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan FSKK, UKM sempena menyemarakkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan.

Barisan ahli panel yang diundang mengupas topik itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Ahli Jawatankuasa, Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam dan Seniwati veteran, Noor Kumalasari.

Tidak ketinggalan, penampilan dua pendatang baru meningkat naik dalam industri hiburan, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan serta aktor Fahrin Ahmad sebagai moderator.

Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Hadir sama, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Penerbit A Aida Production, Datuk A Aida.

Rata-rata ahli panel yang diundang sepakat paras rupa yang cantik harus seiringan dengan bakat dalam misi untuk menjadi pelakon hebat di pentas lakonan.

Menurut Prof Dr Md Nasir, pemilihan pelakon yang cantik untuk watak utama sudah dipraktikkan sejak dulu.

“Antara pelakon yang cantik pada zaman dulu ialah Seniwati Maria Menado, Zaiton dan Roseyatimah. Pemilihan pelakon yang cantik dan kacak diperlukan untuk watak hero.

Namun, pemilihan pelakon utama juga dibuat menerusi uji bakat dan bukan sekadar cantik semata-mata.

“Ada juga pelakon yang mewarisi bakat lakonan dari ahli keluarga seperti Noor Kumalasari dan Fauziah Datuk Ahmad Daud,” katanya.

Kata Md Nasir lagi, bukan saja paras rupa dan bakat tetapi sikap seseorang pelakon juga memainkan peranan penting untuk menjadi pelakon yang bagus.

“Pada pemerhatian saya, pelakon pada zaman dulu, hubungan mereka rapat seperti adik beradik dan mereka menetap di kuarters yang sama pada zaman Show Brothers.

“Pelakon dulu juga sangat menjaga aspek disiplin kerana sikap memainkan peranan penting untuk berjaya dalam bidang lakonan. Berbeza dengan pelakon baru zaman sekarang yang bersikap sombong.

“Sebagai pelakon baru, mereka boleh menggilap bakat lakonan dengan menimba ilmu dengan mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Produser dan pengarah yang pernah mendapat jolokan ‘Six Million Dollar Man’, Datuk Yusof Haslam, berpendapat rupa dan bakat harus seiring untuk mendapat tempat dalam industri perfileman.

“Bercakap soal bakat dan sebagainya, bagi saya ia subjektif kerana semua manusia pun mahukan yang cantik. Kalau kita buat filem pun contoh filem Hindustan pun semua nak yang cantik tapi tanpa kita mengabaikan bakat.

“Sebagai pelakon dan pengarah, mata kita adalah kamera. Kita akan tengok cara pelakon itu berjalan dan bercakap. Isteri saya sendiri adalah penasihat dan penonton pula mewakili masyarakat. Jika tidak, saya akan menjadi pengarah yang syok sendiri.

“Menghasilkan filem juga ‘survival’ kerana buat filem bukannya mudah. Buat dua tiga filem bukannya semua berjaya kerana ia bagaikan satu perjudian,” katanya.

Mengimbas latarnya, Yusof berkata, dia bermula sebagai pelakon dan pengarah ketika meniti usia belasan tahun.

“Saya juga mengambil Noor Kumalasari untuk berlakon dalam filem pertama kerana terpikat dengannya yang juga seorang model yang cantik pada zaman itu.

“Bagi saya, bakat dan rupa penting untuk pemilihan pelakon. Bila isu ini diperdebatkan, saya ada menghubungi A Aida kerana saya sependapat dengannya kerana kami sama-sama bergelar produser,” katanya.

Yusof berkata, dia juga meminta pandangan isterinya yang sentiasa memberikannya motivasi untuk menghasilkan filem.

“Saya menampilkan Awie dalam filem Pemburu Bayang dan filem itu juga berjaya. Manakala, dalam filem Sembilu pula, pilihan pertama saya adalah Aktres Sofea Jane tetapi dia menolak tawaran terbabit kerana mahukan watak lebih mencabar.

“Justeru, saya mengikut cadangan isteri untuk mengambil Erra Fazira kerana dia juga Ratu Cantik ketika itu. Selain Awie dan Erra Fazira, saya juga mengambil Ziana Zain untuk berlakon dalam filem terbitan sata kerana dia juga berbakat,” katanya.

Namun, kata Yusof, bukan satu jaminan dengan mengambil artris popular dan cantik, filem akan mendapat sambutan kerana ada juga filem yang gagal.

“Ada juga pelakon yang memiliki personaliti yang kurang tapi ada daya penarik seperti Seniwati Azean Irdawaty dan Allahyarham Nordin Ahmad yang tidak sekacak manapun.

“Justeru, saya menafikan pelakon yang kurang dari segi rupa tiada peluang dalam industri kerana pembahagian watak mengikut kesesuiann dan masing-masing ada peranan dalam menaikkan industri seni,” katanya.

Seniwati Veteran Noor Kumalasari pula berpendapat kecantikan paras rupa bukan saja dinilai dari segi luaran sebaliknya aspek dalaman untuk menjadi pelakon yang baik.

“Cantik juga mempunyai banyak maksud dan bagaimana kita melihatnya serta dari sudut apa? Sudah pasti yang paling penting, perangai dan sikap seseorang pelakon dalam menjalankan tanggung-jawab pada watak diserahkan.

“Pelakon perlu memiliki ‘attitude’ yang baik dengan menghormati pelakon lain dan pengarah di lokasi. Kalau hati kita cantik, Kalau hati cantik, jadi cantiklah orangnya,” katanya.

Noor Kumalasari berkata, bukan mudah untuk menjadi pelakon kerana dia perlu melakonkan watak orang lain depan kamera dan watak yang dilakonkan berbeza dengan diri sendiri.

“Saya bermula sebagai model, penyanyi dan kemudian pelakon. Semuanya bermula dengan tawaran dari Allahyarham Aimi Jarr yang ingin mencari pelakon yang memiliki rambut panjang.

“Arwah adalah kawan rapat arwah mak dan saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem pertamanya tanpa sesi uji bakat. Saya juga mahu mencuba bakat selepas mendapat kebenaran dari arwah mak. Dengan bantuan guru lakonan dan Allahyarham Jins Shamsudin, filem itu berjaya.

“Ketika berlakon dengan Jins, saya perlu menangis sehingga jam 3 pagi untuk menjiwai babak dalam filem sedangkan saya baru saja lepas ketawa ketika itu. Menerusi bantuan ‘coach’ dan Jins, filem itu juga berjaya,” katanya.

Kata Noor Kumalasari lagi, dia juga tidak menggunakan nama besar kedua ibu bapanya untuk mendapat tempat dalam dunia seni.

“Sejak bergelar model lagi, saya memang memilih untuk berusaha sendiri dari bawah dan sampailah hari ini walaupun saya sudah jarang berlakon,” katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard, Sharifah Rose tidak menafikan paras rupa memainkan peranan penting untuk membuka laluan baginya untuk menceburi bidang seni.

“Saya tiada pengalaman ketika diminta untuk menghadiri sesi uji bakat untuk drama Kekasih Hati Mr Bodyguard. Saya hanya diminta membaca dan menghafal skrip drama itu dan bertemu dengan heronya iaitu pelakon Redza Rosli.

“Saya juga tidak sangka apabila ditawarkan watak heroin dalam drama itu. Saya juga meminta pandangan kedua ibu bapa sebelum menerima tawaran itu kerana masih belajar dan menyambung pengajian di peringkat ijazah ketika itu,” katanya.

Pada masa sama, Sharifah Rose juga mengakui bahawa bukan mudah buat dirinya untuk menjadi seorang pelakon.

“Saya memasuki bidang lakonan tanpa sebarang ilmu. Saya juga sangat terkejut untuk melontarkan dialog dan sepanjang tempoh dua minggu persediaan yang dibuat juga sangat mencabar.

“Saya difahamkan karakter saya hanya ‘happy go lucky’ tetapi sebaliknya ada babak trauma kena rogol dan sebaginya lagi,” katanya.

Bagi menjiwai watak, Sharifah Rose juga bertemu dengan pelakon dan pengarah berkaliber terkenal Elly Suriaty untuk bertanya mengenai ilmu lakonan.

“Saya tidak tahu karakter diserahkan secara keseluruhannya. Justeru, Saya berjumpa Kak Elly untuk memintanya membimbing cara untuk menjadi pelakon.

“Kak Elly beritahu saya perlu faham mengenai watak itu. Saya bukan saja perlu melontarkan watak itu tetapi perlu ketawa dan berjalan sepertinya. Selain itu, saya juga perlu berlakon dengan pasangan atau hero di set sedangkan saya seorang yang pemalu,” katanya.

Namun, kata Sharifah Rose dia melihat kritikan sebagai pembakar semangatnya untuk memperbaiki prestasi lakonan.

“Ketika keluar teaser episod pertama drama lakonan saya di laman Twitter, lakonan saya mendapat kritikan dan saya dilabel ‘pelakon kayu’ Tapi saya mengambil inisiatif untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Saya terpaksa tebalkan muka bertanya dengan Redza ketika di lokasi penggambaran bagaimana mahu melakonkan babak ketawa dan menangis seperti dikehendaki skrip drama itu,” katanya.

Sementara itu, bagi pelakon baharu yang digilap bakatnya menerusi pertandingan Hero Remaja 2020, Hariz Hamdan, paras rupa adalah sesuatu yang sangat subjektif.

Hariz atau nama sebenarnya, Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, yang berjinak dalam dunia lakonan menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production berpendapat setiap orang lain citarasanya.

“Ada orang yang berpendapat saya memiliki paras rupa yang kacak dan mungkin ada pula sebaliknya. Jika penerbit hanya memilih pelakon yang cantik saja, lebih baik mereka mengambil model untuk berlakon dalam produksi mereka.

“Semuanya bergantung pada prestasi lakonan kerana bakat boleh membawa seseorang pelakon untuk pergi jauh dalam bidang lakonan. Sebagai pelakon adalah sangat penting untuk kita memberikan prestasi lakonan yang bagus di lokasi,” katanya.

Kata pelakon kelahiran Selangor itu, dia juga menceburi bidang lakonan selepas pertandingan Hero Remaja .

“Saya juga mahu mencuba bakat sebagai bintang filem,” katanya yang masih menanti tayangan dua filem lakonan iaitu Banglo Seksyen 12 dan Jemputan Ke Neraka. – KopiPlanet.com

The post Paras Rupa Cantik Harus Seiring Bakat Dalam Misi Jadi Pelakon Hebat Di Pentas Lakonan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.