Ads Top

Konsert Kolaboraci – Three To Rock Tampilkan Gabungan Rockers Hebat Tiga Negara

Satu malam, satu pentas dan tiga negara. Itu intipati utama Konsert Kolaboraci – Three To Rock yang akan berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia pada 25 November ini bermula pukul 7.00 malam.

Konsert hebat anjuran Aci Gold itu menggabungkan rockers hebat dari Indonesia, Malaysia dan Singapura yang akan berkongsi pentas pada malam berkenaan.

Indonesia menampilkan band rock popular dan berpengalaman iaitu BIP yang dianggotai Pay Burman (gitar), Bongky Marcel (bass), Indra Q (keyboard) dan Ipank Lazuardi (penyanyi).

BIP boleh diiktiraf sebagai antara band rock legenda Indonesia kerana Pay, Bongky dan Indra adalah bekas anggota band rock nombor satu Indonesia iaitu Slank.

Mereka menghasilkan lima album dengan Slank bersama Kaka (penyanyi) dan BimBim (dram) sebelum berundur pada 1996 dan menubuhkan BIP.

Selain itu, ‘mewakili’ Indonesia ialah Pindad Rock Star, Erik & The Gotune yang dianggotai Iwan Xaverius (bekas anggota Edane) dan Jhon Barhaend.

Sementara itu, Rockers Malaysia pula dibarisi pemain gitar legenda, Man Kidal (Search / Lefthanded), Lola (dram – XPDC) dan Cliff Umar (penyanyi – Project Pistol), manakala Singapura menampilkan Yazid (penyanyi, bass – Lovehunters).

Dalam satu kenyataan, pihak penganjur iaitu Aci Gold mahu aktif menyumbangkan sesuatu kepada industri muzik Indonesia.

“Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia,” katanya.

Selain menampilkan band rock, penyanyi dan pemuzik berpengalaman serta popular dari tiga negara, Konsert Kolaboraci juga sebagai salah satu destinasi hiburan yang dinantikan penonton.

Ia juga sebagai pentas harapan buat penggiat muzik, peminat dan golongan peniaga yang sebelum ini terkesan akibat penularan Covid-19.

“Pandemik Covid-19 sudah beransur pulih. Namun dalam masa sama, kita masih perlu berjaga-jaga dan mematuhi protokol kesihatan. Bagaimanapun, industri muzik dan hiburan tetap perlu diadakan.

“Muzik tidak hanya hidup untuk penggiat seni saja, tetapi muzik adalah kehidupan bagi manusia. Muzik adalah cara kita melepas rindu,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha membina satu komuniti di Asia Tenggara, Aci Gold juga bekerjasama dengan koperasi tempatan, MyUBI yang mempunyai 3,000 ahli akan menjayakan Konsert Kolaboraci di Malaysia.

Kedua-dua entiti ini bekerjasama dalam pelbagai bidang perniagaan di Timur Tengah yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, pemain bass BIP, Bongky berkata, BIP sangat teruja dapat mengadakan persembahan di konsert ini selepas sekian lama tidak terbabit dengan sebarang konsert.

“Sudah lama kami tidak membuat persembahan. Saya pun sudah lupa. Rasanya sudah tiga tahun kami tidak membuat persembahan,” katanya.

Menurut Bongky, konsert ini bakal memberi semangat baru buat industri muzik Indonesia yang terhenti selama dua tahun akibat Covid-19.

Tiket pra-jualan berharga RM303 (VIP), RM152 (Tribune) dan RM75 (Festival) boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.kolaboraci.online.

Tidak ketinggalan, peminat di luar Jakarta khususnya dari Malaysia dan Singapura juga boleh menonton konsert ini secara dalam talian atau streaming pada hari yang sama. Untuk tontonan streaming, tiket berharga RM15 juga boleh dibeli di laman web www.kolaboraci.online. – KopiPlanet.com

The post Konsert Kolaboraci – Three To Rock Tampilkan Gabungan Rockers Hebat Tiga Negara appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.