Ads Top

Saraleana Nafi Tuduhan Filem Gadis Jolobu The Movie Rosakkan Adat Minangkabau & Ada Elemen Lucah… Tetap Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap YouTuber

Penerbit Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi Saraleana menafikan tidak boleh menerima kritikan atau ‘koyak’ terhadap filem pertama terbitannya bersama Zebra Studio.

Saraleana berkata, tindakan undang-undang yang dibuat terhadap seorang YouTuber semata-mata mahu menuntut keadilan setelah individu berkenaan memfitnah terhadap filem berkenaan yang dikatakan merosakkan adat Minangkabau dan mempunyai elemen lucah.

“Saya cuma mahukan keadilan. Jika filem Gadis Jolobu The Movie merosakkan adat Minangkabau, sila buktikan dakwaan berkenaan.

“Kalau filem ini mempunyai elemen lucah seperti diperkatakannya, sudah tentu ia tidak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan mendapat PG13,” tegasnya.

Jelasnya, tuduhan berkenaan nyata menghentam dan bukan mengkritik daripada sudut konstruktif dan pihaknya boleh menerima jika ulasan diberikan secara membina dan ilmiah.

“Saya bukan penerbit tiada etika dalam berkarya Saya sedia maklum ada beberapa penerbit mengadu mengenai YouTuber berkenaan.

“Cuma mereka tidak mahu memanjangkan isu ke peringkat undang-undang. Sekiranya apa yang saya lakukan ini boleh membantu industri, saya terus cuba berjuang,” katanya.

Dalam pada itu, Saraleana mengesahkan sudah menyerahkan surat tuntutan Letter of Demand (LOD) kepada YouTuber tersebut pada 11 Ogos lalu.

Ujarnya, pihaknya kini sedang menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber berkenaan.

“Setakat ini, peguam kami memaklumkan sudah menerima surat balasan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada peguam masing-masing.

“Itu sahaja yang boleh dikongsikan. Kes berada di peringkat awal proses mahkamah,” katanya.

Terdahulu, seorang YouTuber memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial dan menyifatkan filem Gadis Jolobu arahan CL Hor sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan bintang baharu, Ahirine Ahirudin menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos lalu.

Pada masa sama, Saraleana menyatakan tindakan diambil bukan disebabkan kutipan filem terjejas, sebaliknya karya terbabit menyasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Bercakap soal kutipan, kami memang tak fokus kutipan di Malaysia sajaja. Ini kerana, filem Gadis Jolobu lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand,” ujarnya.

Sementara itu, pengarahnya, CL Hor berkata, filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton di platform Over-The-Top (OTT), Get Play bermula 26 Ogos ini.

“Get Play adalah konsep terbaru yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.

“Secara ringkasnya, Get Play turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan karya tempatan ke seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Saraleana Nafi Tuduhan Filem Gadis Jolobu The Movie Rosakkan Adat Minangkabau & Ada Elemen Lucah… Tetap Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap YouTuber appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.