Ads Top

Perjalanan Pertama Pertaruhkan Ahmad Tamimi Siregar Selaku Teraju Utama

Filem kolaborasi Malaysia (D’ Ayu Pictures) & Indonesia (Mahakarya Pictures), Perjalanan Pertama menampilkan pelakon hebat Datuk Ahmad Tamimi Siregar selaku teraju utama.

Pengarahnya, Arief Malinmudo, berkata, dia teruja melihat lakonan Ahmad Tamimi yang cukup berkesan sehingga membuatkan dia memilih pelakon berkenaan.

“Sewaktu mahu menghasilkan filem ini, saya sudah membayangkan watak Gaek Tan ini dilakonkan Ahmad Tamimi kerana selaku pembikin muda, saya melihat beliau mempunyai mutu lakonan yang sangat hebat.

“Kemudian saya mengkaji filem-filem dan drama-drama lakonan beliau ketika masih muda hingga sekarang dan saya merasakan perlu bertemunya,” ujarnya.

Arief berkata, selain berasa berbangga dapat memilih Ahmad Tamimi selaku teraju utama, dia juga berbangga kerana pelakon kanak-kanak terkenal Indonesia, Muzakki Ramdhan turut terbabit dalam filem berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Tamimi menjelaskan dia sukar untuk menolak karya hebat seperti Perjalanan Pertama memandangkan proses lakonan yang dijalankan di Bukit Tinggi, Indonesia ini memberikan pengalaman tersendiri. 

“Sebenarnya, ia filem kedua saya bersama pihak produksi Mahakarya Pictures, filem pertama pada tahun 2017 iaitu Surau Dan Silek. Apapun, ia sememangnya memberikan pengalaman yang tersendiri buat saya.

“Dua bulan sebelum proses penggambaran, kita lakukan latihan, saya dan Mazakki Ramdhan menjalani proses chemistry antara satu sama lain, berlatih menaiki vespa, proses membaca skrip, saya cukup tertarik dan terkesima,” kata beliau. 

Perjalanan Pertama mengisahkan kehidupan seorang datuk bersama cucunya, Yahya lakonan Muzakki Ramdhan yang berdepan liku-liku kehidupan di usia yang masih kecil. 

Tonton filem kekeluargaan penuh emosi ini di pawagam-pawagam berdekatan anda di Malaysia bermula 18 Ogos ini. Selain Ahmad Tarmimi dan Muzakki, filem ini turut dibintangi aktor kacak Randy Pangalila dan Adinda Thomas. – KopiPlanet.com

The post Perjalanan Pertama Pertaruhkan Ahmad Tamimi Siregar Selaku Teraju Utama appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.