Ads Top

Gagal Bela Diri, Mahkamah Arah PU Faiz Bayar Pampasan Kepada Abu Syafiq Berhubung Kes Saman Fitnah

Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya hari ini bagi kes saman fitnah siber yang diambil oleh Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ari di terhadap seorang personaliti televisyen program Pencetus Ummah, PU Faiz atau nama sebenar beliau Ahmad Faiz Hafizuddin Bin Rosli setelah gagal membela diri.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas hampir dua tahun kes saman fitnah siber itu berlangsung.

Peguam utama yang mewakili Ustaz Abu Syafiq iaitu Nurul Hafidzah Hassan berkata, hakim perbicaraan mendapati defendan yang juga seorang “influencer” yang aktif di laman sesawang media sosial Facebook, bertanggungjawab kerana siaran dan komen-komen defendan bersifat fitnah.

“Melalui penghakiman itu Mahkamah memutuskan bahawa kandungan siaran oleh defendan bahawa anak guam, Ustaz Abu Syafiq telah mengkafirkan Ustaz Ebit Lew, dan lain lain pernyataan adalah fitnah.

Sekaligus menyebabkan anggapan bahawa beliau suka mengkafirkan orang lain, melanggar syariat Islam, melakukan sesuatu yang dikeji, jahil dan tidak mahu menerima ilmu, seorang pemfitnah, berperangai celaka, biadap, tidak mempunyai akhlak seperti seorang ustaz, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai dan hanya berkata-kata kosong,” ujar peguam litigasi dan korporat dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors itu.

Abu Syafiq difitnah defendan di dalam kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang dinamakan sebagai ASWAJA Nusantara dan juga dalam satu siaran pautan menerusi akaun Facebook yang telah dimuatnaik defendan pada Julai 2020.

Dalam keputusannya, mahkamah bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan oleh plaintif dan menunjukkan bahawa semua sebutan ataupun rujukan kepada plaintif telah disiarkan oleh defendan melalui kenyataan-kenyataan fitnah tersebut.

Mahkamah memutuskan bahawa plaintif telahpun berjaya dalam kes mereka terhadap defendan dan memerintahkan supaya defendan membayar ganti rugi am dan dibayar serta merta.

PU Faiz telah dikenakan faedah ke atas ganti rugi pada kadar lima peratus dari tarikh pemfailan sehingga penyelesaian sepenuhnya.

Mahkamah juga mengarahkan fitnah-fitnah yang buat defendan perlu dikongsi ulang dalam permohonan maaf dan disiarkan di media sosial aplikasi Facebook, dimuatnaik pada tetapan awam dan dibiarkan sehingga tarikh yang telah dipersetujui.

Defendan juga diberi injunksi, melarang sama ada dirinya, orang suruhan atau ejennya daripada menerbitkan atau menyumbang kepada sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasi plaintif di masa akan datang.

Pada Januari tahun ini, Abu Syafiq menang saman fitnah siber yang diambil beliau ke atas seorang individu yang bernama Hamidah Rapaee yang memfitnah beliau di Facebook dan melalui penyiaran video di YouTube. Kes saman fitnah beliau ke atas pengacara televisyen Amin Idris masih berlangsung. – KopiPlanet.com

The post Gagal Bela Diri, Mahkamah Arah PU Faiz Bayar Pampasan Kepada Abu Syafiq Berhubung Kes Saman Fitnah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.