Ads Top

Aura Ziana & Anuar Zain Masih Memukau, Impian Beraksi Dalam Satu Pentas Terlaksana

Sudah puluhan tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, ternyata pasangan adik-beradik Ziana Zain dan Anuar Zain masing-masing mempunyai aura yang tersendiri.

Ternyata gandingan mereka menerusi konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada minggu lalu begitu memukau.

Anuar berkata, dia dan kakaknya itu sudah lama memasang impian untuk beraksi di satu pentas yang sama dan akhirnya ia dapat direalisasikan.

“Sudah beberapa kali kami bersembang mengenai perancangan untuk bergandingan bersama dalam sebuah konsert.

“Sehinggalah akhirnya ia dapat direalisasikan dan untuk konsert ini kami telah memberikan 100 peratus komitmen untuk menghiburkan peminat yang hadir,” ujarnya.

Disaksikan seramai 3,000 penonton yang memenuhi Dewan Planery, Ziana dan Anuar telah mempersembahkan sebanyak 16 buah lagu, termasuk duet mereka berdua.

Antaranya seperti Sangkar Cinta/Bila Resch (medley), Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Ketulusan Hati, Mungkin, Sesuci CIntamu dan Menadah Gerimis.

Selain itu, lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan adalah Anggapanmu, Sedetik Lebih, Lelaki ini, Keabadian Cinta, Lara, Madah Berhelah, Cinta Takkan Berakhir, Lembah Asmaran dan Di Akhir Garisan.

Sementara itu, bagi Ziana pula dia menganggap kolaborasi bersama adiknya untuk beraksi di pentas yang sama merupakan satu rezeki buat mereka.

“Akhirnya sudah menjadi rezeki kami apabila akhirnya ia dapat realisasikan dengan perancangan tersusun sejak beberapa bulan lalu.

“Saya sendiri, faham ramai yang bertanya bila persembahan saya selepas lama tidak muncul dengan konsert,” ujarnya.

Pada masa sama, Anuar dan Ziana juga mengumumkan mereka akan mengadakan konsert di Singapura pada bulan September ini. – KopiPlanet.com

The post Aura Ziana & Anuar Zain Masih Memukau, Impian Beraksi Dalam Satu Pentas Terlaksana appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.