Ads Top

Kumpulan Nasyid One Path Muncul Dengan Lagu Baby Angel Versi Dakwah Berjudul Cintamu

Muda dan bertenaga. Gabungan empat anak muda One Path kini dalam misi memberikan nafas baru dalam industri nasyid yang sering dianggap ketandusan bakat baru berpotensi.

Dianggotai oleh Haseef, Ammar, Afiq dan Shafiq, gabungan pop quartet One Path komited ingin mengangkat mesej dakwah, persahabatan, kemanusiaan serta tauhid di dalam rentak muzik yang lebih segar dan mesra pendengar di kalangan generasi muda masa kini. 

Walaupun imej kasual yang ditampilkan berserta paduan vokal harmoni One Path pernah membawa mereka menduduki tangga trending di YouTube Malaysia menerusi lagu cover berjudul Yang Terbaik (Here’s Your Perfect versi dakwah), namun One Path tidak pernah merasakan diri mereka sebagai kumpulan jelmaan One Direction ataupun kumpulan Kpop BTS. 

Ammar mewakili anggota One Path yang lain berkata, biarpun mereka merupakan kumpulan nasyid baru, One Path lebih selesa dengan identiti mereka sendiri yang berpenampilan kasual.  

“Dari segi imej , kami lebih terbuka untuk berfesyen mengikut keperluan sesuatu karya dan yang penting kami sendiri rasa selesa.

“Contohnya dalam lagu-lagu cover kami seperti Kuatkanlah (Orange versi dakwah) kami bawakan imej yang kasual, berbeza bila kami perkenalkan single Zikir LoFi – Hasbunallah baru-baru ini.

“Paling utama bagi kami selagi ianya masih mematuhi panduan yang digariskan oleh syara’ dan Allah SWT, kami amat terbuka untuk mencuba sesuatu yang baru. 

Yang terbaharu, kumpulan berkenaan baru sahaja muncul dengan single baharu berjudul Cintamu yang juga merupakan lagu Baby Angel versi dakwah.

Sejak dimuatnaik di YouTube pada minggu lalu, muzik video lagu berkenaan sudah ditonton sebanyak 128,000 dan turut menjadi trending.

Selain itu, mereka baru sahaja hadir dengan single pertama yang dihasilkan sendiri oleh One Path bersama selebriti dakwah terkenal, Ustaz Adnin Roslan.

Menerusi single mereka yang berjudul Hasbunallah, One Path berjaya mengetengahkan kekuatan vokal dan paduan suara yang begitu mengasyikkan.

Menariknya menerusi single ini juga One Path melalui label Tarbiah Sentap Records telah menjalinkan kerjasama bersama produser dari Amerika Syarikat, Mantra, yang sebelum ini turut pernah terlibat dalam pembikinan album artis popular seperti Ne-Yo.

Menurut Haseef, pengalaman ini adalah yang pertama dan bermakna bagi One Path selaku kumpulan vokal yang baru ingin bertapak di dalam industri. 

“Ini pengalaman pertama bagi kami berkerjasama dengan pihak dari Amerika Syarikat. Walaupun kami masih baru, kepercayaan yang diberikan Tarbiah Sentap untuk kami terbitkan single ini bersama pihak luar adalah satu penghargaan besar buat kami. 

Tambah penuntut diploma Tahfiz Al-Quran dan Qira’at itu, beliau berharap akan ada lebih banyak lagi peluang untuk One Path berkerjasama dengan lebih ramai artis di luar sana di masa hadapan. 

Bercakap mengenai perancangan masa depan kumpulan nasyid One Path, pengasas Tarbiah Sentap Records, Ustaz Adnin Roslan berkongsi, pihaknya kini dalam proses menyiapkan beberapa lagi single baru One Path yang bakal diumumkan kelak. 

“Kita dah berhubung dan memulakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat untuk menjayakan projek lagu One Path. Alhamdulillah respon yang kami terima amat positif. Mohon doa daripada semua agar apa yang dirancangkan dapat berjalan dengan baik. 

“Sampai masanya nanti kami akan umumkan satu persatu siapakah artis dan selebriti yang akan terlibat. 

Single Zikir LoFi Hasbunallah diterbitkan dalam 3 versi iaitu Hasbunallah, Hasbunallah (Piano Version) dan Hasbunallah (Acapella Version). Kesemua versi tersebut boleh didapati secara percuma di semua platform digital termasuk TikTok, YouTube, Spotify dan juga Joox. – KopiPlanet.com

The post Kumpulan Nasyid One Path Muncul Dengan Lagu Baby Angel Versi Dakwah Berjudul Cintamu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.