Ads Top

Dihalang Masuk Ke Rumah Sendiri Sebab Ada Tunggakan Bayaran Pengurusan Perumahan, Awal Ashaari Jelaskan Dia Hanya Alihkan Palang Dengan Tangan

Pengacara popular Awal Ashaari menegaskan dia hanya mengalihkan palang dengan tangan dan tidak menggunakan kekerasan atau melanggar dengan kereta setelah tidak dibenarkan masuk ke rumahnya sendiri yang sudah didiami selama 15 tahun.

Dalam satu perkongsian video yang dimuat naik di Instagram, Awal berkata, dia dihalang memasuki rumahnya kerana masih belum menjelaskan tunggakan bayaran maintenance kepada pihak pengurusan perumahannya.

“Perkataan khianat dilihat agak keras, namun saya terima kerana akta. Ia berlaku ketika saya ke rumah lama untuk mengambil barang tetapi kad akses saya disekat kerana tidak membayar yuran pengurusan.

“Saya alih palang dengan tangan sendiri, bukan dengan kekerasan atau langgar dengan kereta sehingga rosak seperti yang dilaporkan,” jelasnya.

Menurut Awal, dia sudah meminta budi bicara kepada pihak pengurusan perumahan tersebut, namun dia tetap dihalang dan hanya dibenarkan masuk setelah tunggakan dibayar.

“Isu ini timbul sebenarnya berpunca sebab tiada budi bicara atau tolak ansur oleh pihak pengurusan perumahan.

“Itulah tindakan saya dan mungkin khilaf sendiri kerana tidak bayar yuran pengurusan. Satu hal yang saya terkilan ialah itu memang rumah saya dan kesal sebab tiada tolak ansur,” ujarnya.

Menurutnya lagi, perkara itu menjadi semakin rumit apabila mendapat tahu pihak pengurusan telah membuat laporan polis.

“Selepas saya masuk ke rumah sendiri, barulah tahu mereka buat laporan polis terhadap saya.

“Memang tak tahu nak gelak atau menangis sebab agak keliru kerana mengapa masuk ke rumah sendiri pun perlu dilaporkan kepada pihak polis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awal memberitahu penjelasan yang dibuat itu bukan mahu menidakkan isu berkenaan, sebaliknya dia ingin membetulkan fakta yang mendakwa dia membuat khianat di tempat awam.

Jelasnya, enggan lagi memanjangkan isu, dia pun telah melangsaikan segala bayaran yuran pengurusan perumahan tersebut. – KopiPlanet.com

The post Dihalang Masuk Ke Rumah Sendiri Sebab Ada Tunggakan Bayaran Pengurusan Perumahan, Awal Ashaari Jelaskan Dia Hanya Alihkan Palang Dengan Tangan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.