Awal Ashaari Didakwa Di Mahkamah Atas Tuduhan Rosakkan Palang Pagar Milik Pengurusan Sebuah Perumahan
Pengacara popular, Awal Ashaari telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.
Menerusi laporan Bernama, Awal atau Ahmad Awaluddin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
“Saya mengaku tidak bersalah,” jelasnya.
Personaliti televisyen itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk M Reza Hassan dibantu Hamizah Sobree yang mewakili Ahmad Awaluddin memohon jaminan RM3,000 atas alasan pendapatan anak guamnya sebagai pengacara tidak konsisten.
“Anak guam saya menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang tua. Saya mohon jaminan yang ditawarkan oleh pendakwaan dikurangkan,” katanya.
Mahkamah membenarkan Ahmad Awaluddin diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan kes. – KopiPlanet.com
Kredit artikel & Foto: Bernama
The post Awal Ashaari Didakwa Di Mahkamah Atas Tuduhan Rosakkan Palang Pagar Milik Pengurusan Sebuah Perumahan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: