Sophia Zuhri Pertaruhkan Single Game Of Charades, Kolaborasi Istimewa Dengan Ajai
Pendatang baharu seni suara, Sophia Zuhri dilihat sebagai seorang gadis muda, berkeyakinan dan berbakat besar.
Turut berkebolehan dalam penulisan lirik, Sophia melakukan kelainan daripada genre kebiasaan kepada gaya muzik lakuran (fusion) Britpop yang pastinya dapat memikat hati peminat pemuzik tanah air.
Muzik sentiasa menjadi keutamaan bagi Sophia. Dengan kemahirannya bermain ukulele, dia menterjemahkan kehidupan sebenar melalui muzik.
“Selalunya saya akan menulis mengenai sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan saya, sama ada apa yang saya alami sendiri ataupun melalui pemerhatian di sekeliling.
“Secara tidak langsung saya akan memetik ukulele dan mula menulis melodi atau menyanyikan lagu menerusi telefon bimbit,” kongsinya.
Ternyata minatnya dalam bidang muzik telah mempertemukan dia dengan komposer, penulis lirik dan penyanyi tersohor negara iaitu Ajai dan ternyata tidak mengambil masa lama untuk Ajai menerokai bakat besar gadis itu.
Di bawah kepakaran muzik yang dimiliki Ajai, mereka berdua berkongsi minat yang sama iaitu mengagumi pemuzik serta karya muzik yang hebat.
Sebagai produser, Ajai mengatakan bakat Sophia mengingatkan kepadanya ketika beliau mula-mula menceburi industri muzik pada era 90-an.

“Saya mahu dia memiliki vokal yang lebih baik berbanding dengan apa yang dimilikinya sekarang. Saya dapat melihat diri saya dalam bakat Sophia.
“Sejujurnya, saya tidak menerbitkan lagu kepada semua orang, tetapi Sophia berbeza. Dia memiliki kelasnya yang tersendiri dan membuatkan saya bersetuju untuk berkolaborasi,” kata Ajai.
Kini pada usia 17 tahun, Sophia yang memulakan karier nyanyian dan penulisan lagu sejak tiga tahun lalu telah menerbitkan single perdananya.
Kolaborasi magis Sophia-Ajai menghasilkan nukilan Game Of Charades, dengan sentuhan Britpop edgy dan lagu ini mungkin akan menjadi lagu pilihan di aplikasi penstriman muzik Spotify.
Menerusi lagu Game Of Charades, Sophia berharap dapat berkongsi rasa dan pengalaman muziknya kepada para peminat di Malaysia.
Dia juga menaruh harapan tinggi agar single tersebut menjadi batu loncatan buatnya mengembangkan kerjaya dalam bidang penulisan lagu, sekali gus menjadi individu yang disegani dalam industri.
Video muzik Game of Charades, yang diarahkan oleh Amani Azlin turut dilancarkan pada 30 Mac lalu. Peminat boleh menonton video muzik di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Video muzik yang menjalani penggambaran di UNI Studio LTE juga mendapat bantuan Pengarah Fotografi, Nicholas Chin dan Penolong Pengarah, Farah Fadzil serta pasukan penata gaya yang sangat berbakat.
Selain itu, Sophia juga secara rasmi menjadi komposer dan penulis lirik yang ditandatangani di bawah Universal Music Publishing Sdn Bhd.
Game of Charades, diedarkan oleh Universal Music, merupakan single pertama dari album dengan lima lagu yang akan dilancarkan pada suku ke-3 tahun 2021. – KopiPlanet.com
The post Sophia Zuhri Pertaruhkan Single Game Of Charades, Kolaborasi Istimewa Dengan Ajai appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: