Ads Top

PPM Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Presiden Karyawan Berhubung Kenyataan Fitnah

Public Performance Malaysia (PPM) telah menyerahkan Penyataan Tuntutan (Statement of Claim) pada 12 Januari lalu ke atas Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Pengerusinya, Freddie Fernandez kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PPM.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, PPM telah mengeluarkan beberapa kenyataan media pada 13 Oktober 2020 dan 10 November 2020 untuk membetulkan kenyataan tidak benar yang dibuat oleh Freddie pada 3 Oktober 2020, 6 Oktober 2020 dan 26 Oktober 2020 yang dikeluarkan di beberapa media cetak, online dan juga media sosial.

“Karyawan menerusi Pengerusinya terus membuat dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap PPM di pelbagai media.

“Sehubungan dengan itu, PPM telah mengeluarkan Surat Tuntutan (Letter of Demand) kepada pihak Karyawan dan Freddie Fernandez pada 12 November 2020 menuntut agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan fitnah yang telah dibuat dan menghentikan penyebaran seterusnya kenyataan fitnah terhadap PPM,” jelas Rosmin Hashim selaku pengerusi PPM.

Malangnya, jelas Rosmin pihak Karyawan dan Freddie Fernandez enggan berbuat demikian secara sengaja dan berulang kali membuat dan mengakibatkan pengeluaran artikel dan kenyataan yang tidak benar

Tegasnya, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri dari syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.

“Adalah mendukacitakan kerana pelbagai usaha dibuat pihak PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media.

“Namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah PPM memberi kami tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang di atas kenyataan fitnah tersebut,” ujarnya.

Tegasnya lagi, kenyataan fitnah itu dikeluarkan pada saat paling buruk, di mana seluruh industri muzik dan negara bergelut dengan cabaran dan dugaan untuk mengatasi kesan pandemik yang telah memberi kesan kepada semua sektor ekonomi negara dan menjejaskan punca pendapatan ramai penggiat seni muzik tanah air.

“Kenyataan fitnah yang dibuat oleh Karyawan dan Freddie telah mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar,” ujarnya.

Dalam pada itu, selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM juga telah membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie Fernandez atas kesalahan jenayah fitnah serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Laporan berkenaan dibuat atas kesalahan menyalahguna internet untuk menghasil dan menyebar komen dan berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM. – KopiPlanet.com

The post PPM Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Presiden Karyawan Berhubung Kenyataan Fitnah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.