Konsert Virtual ITSU 360 Care U Mahu Kumpul Dana Bantu Pejuang Barisan Hadapan
Biarpun pandemik Covid-19 masih lagi belum berakhir, namun ia bukanlah penghalang untuk acara hiburan seperti konsert dapat diteruskan.
Malah, kebanyakan acara-acara sebegini masih mampu berlangsung dan diadakan secara virtual.
Yang terbaharu, sebuah konsert virtual secara langsung, ITSU 360 Care U yang akan diadakan dan disiar dari Mega Star Arena, jam 8 malam pada 20 Februari 2021. Konsert ini dipersembahkan oleh ITSU, diuruskan oleh Amazing Creative Group, disokong oleh Star Planet dan, turut dijayakan oleh HK ATV dan Bigo Live sebagai rakan pengstriman.
Lebih menarik lagi, acara gilang-gemilang itu bakal menampilkan artis tempatan terkenal iaitu Ella Aminuddin, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Naim Daniel, Ernie Zakri, Ariff Bahran, Dolla dan Syamel.
Istimewanya, konsert itu menggunakan kamera 360-darjah yang unik dan pertama kali diperkenalkan di Malaysia berbekalkan hasrat untuk menghiburkan orang ramai di kala pandemik Covid-19.
Orang ramai boleh menonton konsert secara langsung ini menerusi laman YouTube ITSU MY, Facebook ITSU WORLD, Facebook ITSU Indonesia, Facebook Amazing Creative Group, Facebook HK ATV, Facebook Star Planet dan juga Bigo Live App. Namun begitu, efek kamera 360-darjah hanya boleh dinikmati di laman YouTube ITSU MY sahaja.
Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu para pejuang barisan hadapan yang terkesan teruk dengan situasi pandemik ini. Jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM500,000.
Orang ramai boleh menderma dengan mengimbas kod QR Touch n Go ewallet yang akan dipaparkan semasa siaran langsung konsert tersebut. Konsert ini diharap dapat menggalakkan orang ramai kekal tinggal di rumah untuk memutuskan rantaikan jangkitan Covid-19.
Pengarah Jualan Serantau dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat ITSU, Deric Mun Hoong Kit berkata, konsert ITSU 360 Care U adalah kombinasi pelancaran kempen baharu ITSU 360 dan konsert amal.
“Ia boleh disaksikan dengan percuma oleh semua. Kempen ini bertujuan untuk menyebarkan perasaan prihatin dan penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama buat pejuang barisan hadapan,
“Apa yang boleh kami jelaskan adalah ‘ITSU 360’ melambangkan perasaan prihatin dan penyayang yang menyeluruh secara 360 darjah.” ujarnya.
Menurutnya, pada konsert berkenaan, ia akan menampilkan sebuah lagu ikonik dwi-bahasa iaitu Standing In The Eyes Of The World yang bakal didendangkan oleh penyanyi asalnya, ratu rock Malaysia, Ella.
Jelasnya, lagu berkenaan digubah oleh Datuk Wah Idris, graduan Berklee College of Music, Boston, lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, dan penyanyi utama kumpulan Bread, David Gates. Ia telah dirakamkan oleh Ella bagi Temasya Sukan Komanwel 1998.
“Lagu ini dipilih kerana muzik adalah bahasa universal yang boleh menyatukan kita bersama. Dengan lirik lagu yang bertemakan pengorbanan, kecekalan, ketabahan, harapan dan impian, pihak ITSU berharap dapat menyemarakkan lagi semangat orang ramai dan juga pejuang barisan hadapan agar kekal tabah untuk mengharung tempoh yang mencabar ini.
“Kami merasa bangga kerana dapat menjemput penyanyi asal lagu tersebut, Ella untuk menyanyikan semula lagu di konsert ini bersama tujuh penyanyi muda bagi meniupkan semangat yang optimistik kepada semua penonton nanti,” ujarnya.
Katanya, dalam masa yang sama, mereka ingin menghargai semua pejuang barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus untuk menangani situasi pandamik ini.
“Kami berharap dapat mengumpulkan dana semasa konsert diadakan dan 100% hasil sumbangan orang ramai bakal didermakan kepada pejuang barisan hadapan,” ujarnya.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan konsert ‘ITSU 360 Care U’ sambil menyumbang kepada dana bantuan pejuang barisan hadapan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman-laman Facebook ITSU WORLD, ITSU Indonesia, Amazing Creative Group, Star Planet dan Bigo Live App. – KopiPlanet.com
The post Konsert Virtual ITSU 360 Care U Mahu Kumpul Dana Bantu Pejuang Barisan Hadapan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: