Ads Top

Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends Tampilkan Tiga Penyanyi Popular Tanah Air

Animasi popular dan juga pemenang Program Pra-sekolahTerbaik di Asian Television Awards ke-24, Didi & Friends yang dikenali dengan cerita dan lagu-lagu hiburan serta pengajaran untuk kanak-kanak kini muncul dalam Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends.

Ini menjadikan ia sebagai filem animasi pertama tempatan yang akan menemui para penonton di kaca televisyen pada tahun 2021 di Astro First.

Selepas kejayaan konsert terdahulu, Konsert Hora Horey Didi & Friends (2018) dan Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends (2019), Astro dan Digital Durian tidak teragak- agak untuk mempersembahkan konsert seterusnya.

Apa yang menariknya, setiap konsert memberi pengalaman berbeza kepada para peminat Didi & Friends. Dengan kutipan melebihi RM2.7 juta pada 2018, konsert yang pertama telah memberi pengalaman sinematik yang unik di panggung wayang.

Manakala konsert kedua dipersembahkan secara langsung untuk memberi pengalaman konsert muzikal interaktif. Kali ini, konsert ketiga akan dibawa terus ke Pawagam Rumah Anda di Astro First, saluran 480. Ini akan memberikan pengalaman konsert di rumah untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga, boleh berhibur mengikut waktu fleksibel mereka dan terus kekal berada di rumah.

Lebih istimewa lagi, konsert ketiga dimeriahkan dengan kemunculan tiga penyanyi popular tanah air iaitu Yuna, Altimet dan Hael Husaini. Yuna akan menyanyikan lagu Bunga Matahari, manakala lagu Bingo 2020 dinyanyikan oleh Altimet dan Rindu Serindunya oleh Hael Husaini.

Pengarah Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail berkata, pihaknya sentiasa mendahului dengan menghasilkan kandungan hiburan yang mengujakan dan berkualiti.

“Jenama Didi & Friends diperkenalkan pada tahun 2014 dan kami sentiasa komited untukmemastikan evolusi animasi kami dengan teknologi terkini serta progresif untukmemberi pengalaman berbeza kepada penonton.

“Kami yakin Astro First adalah platform yang terbaik untuk konsert ini dibawa secara menyeluruh dan lebih dekat kepada penonton. Bagi konsert ketiga, kami telah memilih Yuna, Hael Husaini dan Altimet sebagai buah tangan khas buat peminat dan penonton,” ujarnya.

Mengenai pemilihan ketiga-tiga penyanyi berkenaan, Sinan menyatakan rasa percaya terhadap mereka yang mempunyai bakat dan aura tersendiri yang mampu menjadi tarikan buat penonton cilik serta dewasa.

“Harapan kami dengan kehadiran konsert ini Di Pawagam Rumah Anda, ia dapat memberikan pengalaman menarik kepada penonton dan sekaligus mampu memberi impak dan fenomena dalam industri animasi tempatan,” ujarnya.

Beralih kepada watak-watak utama, Didi, Nana dan Jojo akan tampil berbeza khas untuk konsert ini. Selain itu, karakter Pak Atan, Tatak dan Bingo turut meriahkan Konsert Hora Horey Wayang.

Bagi karakter nakal, ia menampilkan karakter Boon, Roon dan Mummy. Seterusnya, karakter Omar & Hana akan muncul di dalam lagu Ninja dan Kak Hani bersama Abang Paan sebagai pengacara konsert itu nanti.

Antara daya tarikan lain, ia juga menyaksikan kali pertama siri konsert ini dipadatkan dengan jalan cerita serta plot yang penuh drama. Jadi, penonton bukan sahaja dapat berhibur dengan lagu-lagu tetapi dapat berseronok dengan telatah setiap karakter.

Konsert berdurasi 90 minit ini akan mempersembahkan 33 buah lagu yang terdiri daripada tujuh lagu baharu dan tujuh lagu lama yang telah digubah semula dan 19 lagu daripada siri Didi & Friends. 

Antaranya, ‘Rasa Sayang’, ‘Kalau Rasa Gembira’, ‘Mengantuknya Mumia’, ‘Bunyi Anak Haiwan’ dan ‘Rawr Rawr Raksasa’.

Lebih istimewa konsert ini akan dipersembahkan dalam dua bahasa, iaitu versi Bahasa Melayu yang ditayangkan bermula 25 Februari ini, manakala versi Bahasa Inggeris akan bermula pada 25 Mac nanti di Astro First. – KopiPlanet.com

The post Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends Tampilkan Tiga Penyanyi Popular Tanah Air appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.