Gandingan Romantik Janna Nick & Dini Schatzmann Dalam Drama Bersiri Marry Me Senorita
Setelah pernah berlakon bersama-sama dalam beberapa buat drama bersiri sebelum ini, pasangan kekasih Janna Nick dan Dini Schatzmann Cembali dengan naskhah terbaharu berjudul Marry Me Senorita.
Drama bersiri Marry Me Senorita merupakan naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Suri Ryana yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd.
Drama bersiri sepanjang 28 episod arahan sutradara Nur Ain Sharif itu turut menampilkan pengarah prolifik, Michael Ang selaku Penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Rehal Nurharis dan Dayang Kartinah.
Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, bagi mengukuhkan kedudukan Astro sebagai destinasi utama penggemar drama-drama Melayu, pihaknya amat berhati-hati daripada segi pemilihan naskah kerana para penonton alaf baharu masa kini bijak menilai serta turut dihidangkan dengan variasi pilihan yang fleksibel.
” Yang terbaru kami bawakan sebuah lagi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel Marry Me Senorita khusus buat tontonan semua. Pemilihan novel ini untuk diangkat ke dalam bentuk drama adalah berasaskan jalan ceritanya yang tersendiri dan kejayaan novel tersebut yang mendapat sambutan hangat dan laris terjual sewaktu ia diterbitkan.
“Kami percaya ia mampu menarik perhatian penonton terutamanya daripada kalangan pembaca novel yang pastinya ingin menyaksikan visual karya tersebut apabila diterjemahkan dalam bentuk drama bersiri,” ujarnya.

Menurut Emarina, pemilihan Janna dan Dini selaku teraju utama kerana keserasian mereka sebagai pasangan kekasih yang sedang melalui fasa-fasa bahagia sekarang ini.
“Kredibiliti Janna Nick selaku pelakon tidak perlu disangkal lagi. Manakala Dini Scatzmann juga mempunyai bakat dan potensi besar untuk menempa nama dalam bidang lakonan.
Keserasian pasangan ini yang kini sedang dalam fasa bahagia sebagai kekasih di alam nyata seperti yang dapat kita saksikan secara terbuka terutamanya di platform sosial media juga merupakan antara faktor utama pemilihan mereka selaku teraju utama,” ujarnya.
Selain Janna dan Dini, drama berkenaan turut dijayakan oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Shaza Bae, Datuk Jalaludin Hassan, Yasmin Hani, Datin Fadilah Mansor, Raja Azura, Meerqeen dan Daler Yusuf.
Drama berkenaan mengisah tentant Sofiy Leia (Janna Nick) yang dipaksa meninggalkan rumah oleh ibu saudaranya sebaik sahaja bapa saudara Sofiy meninggal dunia. Dia dikejar dan untuk menyelamatkan dirinya, dia mencari perlindungan di bawah gazebo di mana Isa Alejandro (Dini Schatzmann) juga turut berehat.
Oleh kerana keadaan hujan lebat dan matahari sudah terbenam, Sofiy tidak mempunyai pilihan selain bermalam di sana. Walaupun dia menganggap Isa adalah seorang yang sombong, namun dia tetap menceritakan kisah tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya.
Marry Me Senorita bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 malam mulai 2 Februari 2021 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Ia turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com
The post Gandingan Romantik Janna Nick & Dini Schatzmann Dalam Drama Bersiri Marry Me Senorita appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: